SHAH ALAM – Seorang guru sekolah menengah didakwa sekali lagi atas kesalahan dadah di Mahkamah Majistret, hari ini atas pertuduhan memiliki dadah jenis syabu, Sabtu lalu.
Tertuduh, Mohd. Amirul Amin Ismail, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin.
Mohd. Amirul didakwa sebagai seorang yang tidak memiliki kuasa atau kebenaran seperti mana dalam Bahagian III Akta Dadah Berbahaya 1952, telah memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 1.17 gram (g).
Bapa kepada seorang anak tersebut melakukkan perbuatan itu di kuarters guru di Subang Jaya, kira-kira pukul 6.30 petang, 27 September lalu.
Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Ariz Zainal Alam mencadangkan jaminan sebanyak RM3,000 dan memohon tarikh sebutan bagi laporan kimia.
Peguam Anasuha Atiqah Mat Saidi dalam mitigasinya memaklumkan anak guamnya kini ditahan ditahan dan melakukan kerja sebagai penghantar makanan bagi menampung isteri, seorang anaknya berusia tiga tahun serta ibu yang uzur.
“Ini merupakan kesalahan kali kedua yang melibatkan dadah namun mohon mahkamah mengambil kira bahawa tertuduh telah diberikan jamin polis dan hadir sendiri ke mahkamah pada hari ini.
“Tertuduh juga memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis. Difahamkan tertuduh bersedia dengan jumlah RM2,000 sebagai jaminan,” katanya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM3,500 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan ditetapkan 23 Disember depan.
Kosmo! pada 28 Julai lalu melaporkan Mohd. Amirul mengaku tidak bersalah memiliki dadah jenis pil yaba seberat 5.31g dan diberikan jaminan RM3,000. – KOSMO! ONLINE