LONDON – Pendahulu Formula Satu (F1), Oscar Piastri digesa mengubah pendekatan supaya lebih ‘mementingkan diri sendiri’ dan tidak teragak-agak untuk mengingkari arahan pasukan jika mahu merangkul gelaran juara dunia pertamanya.
Ketika ini, Piastri ‘dihimpit’ persaingan sengit dalaman McLaren di mana pemandu Australia tersebut kini mendahului rakan sepasukannya, Lando Norris dengan kelebihan 25 mata.
Namun, kedudukannya mula terancam selepas gagal menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Azerbaijan apabila juara bertahan dari Red Bull, Max Verstappen kembali bangkit dengan dua kemenangan berturut-turut untuk merapatkan jurang.
Walaupun McLaren dilaporkan memperkenalkan ‘peraturan papaya’ yang membenarkan kedua-dua pemandu bersaing secara bebas, beberapa insiden sebelum ini menimbulkan persepsi bahawa pasukan itu lebih memihak kepada Norris.
Piastri pernah diarahkan untuk memberi laluan kepada Norris di Monza dan turut menjadi mangsa strategi pit-stop yang meragukan di GP Hungary.
“Pelumba F1 perlu pentingkan diri sendiri. Mereka berjaya ke F1 kerana mereka sentiasa berjuang dan mengatasi pihak lawan untuk mara ke hadapan.
“Mereka berdua mahu menang dan akan tiba satu ketika di mana, secara kasarnya, mereka akan berkata ‘lupakan arahan pasukan, kemenangan ini untuk saya’,” kata Bekas pemandu McLaren, David Coulthard.
Pandangan itu turut disokong oleh juara dunia dua kali bersama McLaren, Mika Hakkinen yang menegaskan sikap mementingkan diri adalah kunci kejayaan dalam perlumbaan.
“Anda perlu fikir apa yang terbaik untuk diri sendiri. Memang ia nampak tidak bagus dalam persekitaran kerja, apatah lagi dia seorang pemandu muda yang kurang pengalaman.
“Tetapi Piastri akan menjadi lebih baik. Dia seorang pemandu yang sangat konsisten dan sangat pantas, itu adalah senjata ampuhnya,” kata Hakkinen. – AGENSI