PETALING JAYA – Pelakon Anzalna Nasir menitipkan pesan penuh makna tentang erti keikhlasan dalam kehidupan, selain mengingatkan khalayak agar tidak sewenang-wenangnya mengambil kesempatan atas kebaikan orang lain.
Ujar Anzalna atau nama sebenarnya Nur Anzalna Md. Nasir, 36, setiap amal yang dilakukan dengan hati bersih pasti diberi ganjaran oleh Tuhan meskipun manusia bersikap sebaliknya.
“Berfikiran positif dan berbuat baik dengan orang itu memang bagus, cuma kadang ada yang suka ambil kesempatan.
“Kalau niat kita ikhlas, Allah tahu, dan Dia akan lindungi kita dengan menjauhkan daripada orang yang tak ikhlas,” tulisnya dalam Threads.
Percaya pada takdir, pelakon filem Kahwin 5 itu turut mengingatkan agar tidak sesekali mempersoalkan aturan Tuhan dalam kehidupan.
“Percayalah, dalam setiap duka Allah tetap selitkan kegembiraan.
“Apa sahaja yang Allah atur, itulah yang terbaik. Jangan pernah kita persoalkan,” ujarnya.
Hantaran tersebut nyata menyentuh hati ramai pengikutnya dalam media sosial yang rata-ratanya menyokong dan menganggap pesanan itu sebagai penguat semangat dalam menempuh ujian hidup.
“Benar, setiap ujian ada hikmah tersendiri. Tapi jangan takut buat baik, janji Allah itu pasti. Terima kasih Anzalna atas kata-kata indah ini,” kata seorang peminat.
“Baca nasihat ini terus rasa tenang. Semoga Anzalna terus istiqamah,” tulis netizen lain.
“Wanita cantik bukan sahaja pada wajah, tetapi juga pada hati. Semoga Anzalna sentiasa dilindungi Allah,” komen seorang pengguna media sosial.- KOSMO! ONLINE