KUCHING – Pasukan Kuching City FC terus menjelmakan prestasi luar biasa apabila membelasah Imigresen FC 4-0 di Stadium Negeri, sebentar tadi.
Kuching ity FC yang membelasah DPMM FC 7-1 di pentas Piala FA kini merekodkan kemenangan kedua berturut-turut dalam saingan Liga Super selepas turut menewaskan Selangor FC 1-0, minggu lalu.
Sepanjang perlawanan kali ini, trio tuan rumah, Ronald Ngah Wanja, Ramadhan Saifullah dan Danial Asri menjadi nadi utama kepada kejayaan kali ini.
Walaupun tidak menjaringkan gol, Ngah Wanja turut layak diangkat sebagai pemain terbaik buat Kuching City FC kerana muncul pencetus kepada tiga gol tuan rumah.
Terdahulu, Ramadhan yang menerima umpanan daripada Ngah Wanja pada minit ke-30 berjaya melakukan lencongan menarik untuk menewaskan penjaga gol pelawat, Muhammad Farhan Abdul Majid.
Bersambung babak kedua, giliran Danial Asri membuktikan sentuhan emas apabila meledak dua gol pada minit ke-49 dan 65.
Kira-kira 10 minit selepas jaringan ketiga terhasil, seorang lagi import tuan rumah, Petrus Shitembi menambah derita pelawat apabila turut melakar namanya selaku penjaring gol.
Selepas mengharungi lima perlawanan, The Cats kini berada di tangga keempat dengan 10 mata. – KOSMO! ONLINE