PETALING JAYA – Penggunaan teknologi moden seperti dron, kecerdasan buatan (AI), automasi dan peralatan pertanian pintar bakal menjadi pemacu utama kepada transformasi sektor pertanian negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerajaan komited membawa perubahan drastik dalam cara sektor itu diusahakan, selari dengan matlamat keterjaminan makanan negara.
“Di Pulau Pinang ni, kita sedang jalankan usaha untuk tingkatkan hasil padi, baik pulih parit, guna mesin moden macam traktor dan dron, serta bantu petani lawan serangan penyakit tanaman.
“Penternak dan usahawan kecil pun kita sokong dan bantu, ada yang telah berjaya jual produk sampai berjuta-juta setahun. Syukur sangat!” tulisnya di media sosial.
Menurut beliau, penggunaan teknologi telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan di beberapa kawasan, termasuk di Pulau Pinang, di mana petani berjaya meningkatkan hasil padi dan mengawal penyakit tanaman dengan lebih efektif.
“Kerajaan Madani beri tumpuan besar kepada isu keterjaminan makanan. Kita nak pastikan rakyat bukan saja cukup makan, tapi makanan yang selamat, berkhasiat dan berkualiti. Itu yang jadi tonggak kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara,” jelasnya.
Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa dengan penyertaan generasi muda dalam pertanian berteknologi tinggi, masa depan sektor ini akan lebih cerah dan berdaya tahan.
Terdahulu, Mohamad telah merasmikan Program Pemerkasaan Sektor Pertanian KPKM Inc. Pulau Pinang 2025 di Kampung Guar Petai, hari ini.
Program anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu menghimpunkan pelbagai agensi dan penggiat sektor agro bagi memperkukuh ekosistem pertanian negeri menjelang 2025. – KOSMO! ONLINE.