fbpx
SEBANYAK 60 peratus pelajar universiti di rantau Asia menggunakan AI untuk menyiapkan tugasan mereka. – JANAAN AI

AI ancam integriti dunia pendidikan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DR. NORHARYANTI MOHSIN

LEDAKAN teknologi kecerdasan buatan (AI) telah membawa perubahan ketara dalam landskap pendidikan tinggi negara. Walaupun memberi peluang besar untuk mempercepat proses pembelajaran, kebimbangan berkaitan integriti akademik semakin hangat diperkatakan dalam kalangan pendidik dan penggubal dasar.

Di Malaysia, ia berada di persimpangan sama ada adakah AI akan menjadi suatu alat untuk memperkasa generasi baharu atau sebaliknya melahirkan graduan yang ‘pintar mesin tetapi kosong jiwa?’

Sejak 2023, aplikasi seperti ChatGPT, Grammarly dan Quillbot merupakan sebahagian teknologi yang memberikan kesan besar kepada kehidupan pelajar khususnya mereka yang berada di universiti.

Ia digunakan untuk membantu pelajar mendapatkan maklumat, menulis esei, menterjemah, menghasilkan ringkasan artikel, malah menyediakan cadangan jawapan yang bersesuaian untuk peperiksaan.

Menurut Pensyarah Kanan dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Madya Ts. Dr. Md. Fauzi Ahmad, sebanyak 60 peratus pelajar universiti di Rantau Asia menggunakan AI untuk menyiapkan tugasan mereka.

Namun begitu, hampir 38 peratus menyatakan mereka tidak pasti sama ada penggunaan mereka mengandungi unsur plagiat atau sebaliknya.

Sehingga kini, belum ada statistik nasional di Malaysia yang memuktamadkan kadar pensyarah ‘sukar mengesan’ tugasan AI. Namun, melalui laporan Turnitin yang digunakan secara meluas di institusi pengajian tinggi Malaysia menganggarkan 11 peratus tugasan yang dibuat mengandungi kandungan yang dijana oleh AI. Statistik ini menandakan wujudnya jurang ketara antara keupayaan pelajar menguasai AI dan kebolehan institusi mengawal penggunaannya.

Penggunaan AI tanpa kawalan menimbulkan persoalan besar terhadap keaslian karya pelajar. Tradisi akademik yang selama ini menekankan usaha, pemikiran kritis dan kejujuran kini berdepan cabaran baharu.

Laporan Turnitin pada 2024 mendedahkan lebih 22 juta tugasan pelajar di seluruh dunia telah dikenal pasti mengandungi elemen penulisan dari perisian AI. Walaupun wujud perisian pengesan, ketepatannya dalam mengenal pasti keaslian penulisan masih menjadi isu apabila terdapat hasil penulisan oleh manusia yang ditandai atau dikatakan sebagai kandungan AI.

Prof. Madya Dr. Nor Shahniza Kamal Bashah, Pensyarah dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) di dalam laporan The Sun pada April 2024 juga menyeru komuniti akademik khususnya para pelajar untuk lebih beretika menggunakan AI.

“Ahli akademik mengiktiraf manfaat penggunaan AI kerana ia boleh memperkaya proses pembelajaran, namun jika dijadikan jalan pintas, ia satu tindakan yang mengancam integriti akademik. Universiti perlu menekankan bahawa AI ialah pembantu, bukan pengganti. Jika tidak, kita akan melahirkan graduan tanpa identiti akademik,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pula sedang menilai garis panduan khusus untuk menangani isu ini. Antaranya termasuk cadangan mewajibkan pelajar melampirkan deklarasi keaslian tugasan serta menyediakan latihan literasi AI kepada pensyarah.

Penggunaan AI secara tidak beretika boleh memberi kesan mendalam terhadap beberapa perkara. Antaranya, kualiti graduan akan terjejas kerana kurangnya kemahiran berfikir secara kritis dan analitis dalam mencari penyelesaian terhadap sesuatu tugasan yang diberikan kepada mereka. Kecenderungan menggunakan AI sebagai jalan pintas menjadikan mereka malas untuk berfikir seterusnya menghalang pemikiran kritis dan kreatif melalui pendekatan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) yang diperkenalkan sejak 2013.

Kesan seterusnya ialah menyebabkan reputasi sesebuah universiti akan terkesan jika integriti akademik dipersoalkan pihak luar. Pengiktirafan antarabangsa terhadap kemampuan universiti tempatan akan tercalar. Badan penarafan seperti QS World University Rankings dan Times Higher Education (THE) amat menitikberatkan aspek kualiti akademik dan reputasi penyelidikan.

Maka, jika wujud kontroversi berkaitan integriti, penilaian menjadi semakin merosot seterusnya menjejaskan kedudukan ranking yang diperoleh. Ia juga menjejaskan peluang penyelidikan dan kolaborasi di antara universiti bersama pihak luar dan menjadikannya semakin terhad. Ini bermaksud, peluang mendapatkan geran penyelidikan antarabangsa, menjalankan program mobiliti pelajar dan kolaborasi industri semakin berkurangan.

Selain itu, kesan seterusnya mengakibatkan jurang digital menjadi semakin melebar apabila pelajar di bandar mendapat akses teknologi yang lebih baik berbanding pelajar luar bandar.

Ia juga menjejaskan penguasaan pelajar luar bandar terhadap pelbagai jenis platform pendidikan seperti AI yang semakin mendapat perhatian umum akibat daripada keterbatasan menggunakan teknologi terkini khususnya dalam bidang pendidikan.

Justeru, bagi mengekang perkara ini dari terus membarah, satu langkah proaktif terhadap kepatuhan kepada polisi dan amalan baik perlu dikuatkuasakan dengan segera.

Walaupun di Malaysia mempunyai Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA), setakat ini masih belum ada garis panduan khusus tentang penggunaan AI dalam pendidikan. Beberapa pakar berpendapat tindakan segera perlu diambil bagi memastikan teknologi ini digunakan secara beretika. Antaranya, mewujudkan garis panduan nasional mengenai penggunaan AI dalam pendidikan. Garis panduan ini perlu diuar-uarkan kepada semua melalui pelbagai lapisan media agar dapat berfungsi seperti yang dirancang.

Pelajar khususnya harus meletakkan had penggunaan AI di dalam keperluan seharian akademik mereka.

Kini, kadar penyalahgunaan AI dalam kalangan pelajar semakin meningkat. Laporan dari akhbar The Edge pada April 2015 menunjukkan kegiatan plagiarisme yang membimbangkan, ia melibatkan lebih 50 peratus tugasan yang dihantar pelajar sebahagian besarnya dibuat tanpa pemahaman etika.

Tindakan seterusnya yang boleh diambil ialah pelaburan dalam infrastruktur pengesanan dan pemantauan akademik supaya institusi dapat mengurus penggunaan AI dengan lebih berkesan.

DR. NORHARYANTI MOHSIN merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Kurikulum dan Teknologi Pengajaran, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN