SHAH ALAM – Jenazah bonda kepada Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin selamat dikebumikan di Makam Diraja di sini, kira-kira pukul 2.45 petang ini.
Terdahulu, jenazah Allahyarhamah Esah Tahar, 82, disembahyangkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah selepas solat zohor.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan berangkat menunaikan solat sebelum menyertai pengebumian itu.
Turut hadir, Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri, Dr. Mohammad Fahmi Ngah; Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri, Mohd. Najwan Halimi dan Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna negeri, Datuk Rizam Ismail.
Selain itu, Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dan Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar.
Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan menyiram air mawar selepas bacaan talkin selesai.
Terdahulu, Allahyarhamah Esah menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital pakar di Damansara akibat sakit tua, kira-kira pukul 5.15 pagi tadi.
Allahyarham lahir di Klang, meninggalkan tiga orang anakanda, termasuk Tengku Permaisuri Norashikin yang merupakan anakanda bongsu. – KOSMO! ONLINE