PORTLAND, OREGON – Presiden Donald Trump kelmarin meluluskan penempatan askar di bandar barat laut Amerika Syarikat (AS), Portland sekali gus melanjutkan penggunaan domestik bagi tentera yang menjadi pertikaian meluas untuk menyokong tindakan keras besar-besaran terhadap pendatang haram.
Penempatan di bandar terbesar negeri Oregon itu akan mengikuti langkah serupa oleh Trump yang mengerahkan tentera di Los Angeles, California dan Washington, DC.
Ia juga berlaku ketika Trump melancarkan serangan terhadap aktivis sayap kiri berikutan beberapa serangan maut yang didakwa Presiden AS itu dan sekutunya sebagai bukti rangkaian ‘pengganas domestik’.
“Atas permintaan Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Kristi Noem, saya mengarahkan Setiausaha Perang, Pete Hegseth, untuk menyediakan semua tentera yang diperlukan untuk melindungi Portland yang dilanda ‘perang’.
“Ia juga termasuk mana-mana kemudahan ICE kami yang dikepung daripada serangan Antifa, dan pengganas domestik yang lain,” tulis Trump pada platform Truth Social.
ICE atau Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam, merupakan agensi utama yang menjalankan usaha pengusiran besar-besaran pendatang asing di AS di bawah pentadbiran Trump.
Tambahnya, beliau membenarkan pengerahan pasukan penuh, sekiranya perlu, namun tidak mengulas lanjut.
Penunjuk perasaan di Portland dan bandar-bandar lain telah menyekat pintu masuk ke kemudahan ICE beberapa minggu kebelakangan ini, menyebabkan beberapa pertempuran ketika ejen cuba memeriksa kawasan itu.
Gabenor negeri Parti Demokrat itu, Tina Kotek berkata, beliau bercakap dengan Trump, yang tidak memberi sebarang butiran atau menyatakan tempoh masa tentang penempatan tentera.
“Tiada pemberontakan, tiada ancaman kepada keselamatan negara dan tidak ada keperluan untuk tentera dikerahkan ke bandar utama kita sendiri,” katanya kepada pemberita. – AFP