PETALING JAYA – Perdana Menteri menegaskan pembangunan Sabah mesti dipacu dengan lebih pesat dan menyeluruh.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara yang diberi keutamaan ialah pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo, penambahbaikan bekalan air, peningkatan fasiliti kesihatan serta infrastruktur asas lain.
“Semua ini penting untuk merapatkan jurang pembangunan dengan Semenanjung, seterusnya memastikan rakyat Sabah menikmati kemudahan yang lebih baik, selesa dan berkualiti.
“Kerajaan Persekutuan bersama Kerajaan Negeri akan terus berganding bahu kerana kesejahteraan rakyat Sabah adalah keutamaan yang tidak boleh ditangguhkan lagi,”katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook.
Terdahulu, Anwar berkata, beliau telah mengadakan Jelajah Wira Madani dan Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Sandakan hari ini.
Mengulas mengenai lawatan itu, Anwar berkata, Kerajaan Madani akan terus berdiri teguh bersama APMM.
Justeru katanya, pelbagai inisiatif sedang dan akan dilaksanakan daripada memperkukuh aset, meningkatkan latihan, sehinggalah menambah baik kebajikan anggota agar agensi ini terus gagah, dihormati dan berdaya saing dalam mendepani cabaran semasa.
“Insya-Allah, melalui Belanjawan 2026, aspek pertahanan negara meliputi pelbagai agensi termasuk APMM akan terus diberikan perhatian sewajarnya supaya kesiapsiagaan pertahanan negara berada pada tahap terbaik
“Salut saya kepada seluruh warga APMM yang sentiasa menjadi benteng utama keselamatan maritim negara. Keberanian, disiplin, dan pengorbanan kalian amat besar ertinya kepada negara,”ujarnya.-KOSM0! ONLINE