SEJAK dilancarkan pada tahun lalu, Aveta Vanguard 250 telah menetapkan penanda aras baharu dalam kategori skuter 250cc yang diperkenalkan oleh Aveta Malaysia.
Dengan gabungan keselesaan tunggangan jarak jauh, reka bentuk berinspirasikan pengembaraan serta praktikaliti harian, model ini berjaya melahirkan segmen Adventure Touring Crossover (ATC) di Malaysia yang menawarkan keseimbangan sempurna antara kegunaan harian dalam bandar dan perjalanan jarak jauh.
Sambutan pasaran terhadap Vanguard 250 amat menggalakkan dan jualan untuk model ini begitu baik.
Malah, pemilik skuter ini juga telah membina komuniti penunggang yang semakin berkembang dan aktif di seluruh negara, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai peneraju segmen ATC.
Menerusi aktiviti konvoi komuniti, sesi pertemuan bersama pemilik, rangkaian pengedar serta maklum balas perkhidmatan selepas jualan, Aveta telah meneliti secara menyeluruh pandangan dan pengalaman sebenar penunggang Vanguard di seluruh negara.
Mendengar suara pengguna, Aveta mengambil inisiatif untuk melancarkan versi terkini Vanguard 250 dengan 10 penambahbaikan.
Input yang diperoleh daripada penggunaan harian dan perjalanan jarak jauh ini menjadi asas kepada setiap penambahbaikan yang diperkenalkan pada model terkini.
Versi terbaharu Vanguard 250 hadir dengan pakej penambahbaikan menyeluruh yang memberi fokus kepada aspek keselesaan, versatiliti serta keyakinan penunggang dalam pelbagai situasi tunggangan.
Antara pembaharuan utama ialah paparan digital TFT bersaiz 7 inci lengkap dengan fungsi skrin sentuh yang membolehkan akses maklumat tunggangan dilakukan dengan lebih mudah dan intuitif.
Ciri ini membantu memberikan pengalaman tunggangan yang lebih lancar serta moden.
Bagi meningkatkan keselesaan ketika perjalanan jauh, Vanguard 250 turut dilengkapi cermin hadapan yang boleh dilaras secara elektrik.
Fungsi ini membolehkan penunggang menyesuaikan tahap perlindungan angin mengikut keperluan semasa.
Reka bentuk suis kawalan juga diberi nafas baharu bagi memastikan operasi lebih mudah dan intuitif ketika menunggang.
Pada masa sama, pelindung ekzos yang dipanjangkan menawarkan perlindungan haba yang lebih baik kepada pembonceng, sekali gus meningkatkan aspek keselamatan.
Dari sudut praktikaliti, model ini menampilkan penutup enjin baharu yang memudahkan proses penyelenggaraan.
Selain itu, reka bentuk tapak kaki pembonceng yang dipertingkat memberi tahap keselesaan dan kestabilan lebih baik kepada penumpang.
Ruang simpanan bawah tempat duduk turut dipertingkat dengan kapasiti yang kini mampu memuatkan helmet full-face, menjadikannya lebih praktikal untuk kegunaan harian.
Bagi meningkatkan keselesaan keseluruhan, Vanguard 250 hadir dengan reka bentuk tempat duduk baharu yang lebih sesuai untuk perjalanan jarak jauh di samping membantu penunggang berasa lebih yakin ketika berhenti.
Aspek tunggangan pula dipertingkatkan menerusi penyerap hentak belakang boleh laras yang memberikan kestabilan lebih baik serta keupayaan menyesuaikan tetapan mengikut beban.
Melengkapkan pakej ini ialah sistem ABS dan TCS yang boleh ditutup, sekali gus memberi fleksibiliti lebih tinggi sama ada untuk tunggangan lebuh raya mahupun pengembaraan ringan.
Secara keseluruhan, Vanguard 250 dipacu enjin satu silinder 244.2cc yang mampu menghasilkan kuasa 24.8hp pada pada 8,500rpm dan 22.5Nm pada 6,500rpm.
Skuter ini menggunakan sistem transmisi CVT automatik yang digabungkan dengan tali sawat atau belt drive untuk memacu roda belakang.
Vanguard 250 mempunyai ketinggian tempat duduk 780mm dan mesra untuk penunggang sederhana tinggi.
Skuter ini mempunyai berat 177 kilogram (kg) dan masih mudah untuk dikendalikan.
Bagi Vanguard 250 versi yang dipertingkatkan ini tersedia dalam dua pilihan warna baharu, Nano Green dan Desert Bronze.
Vanguard 250 yang dipertingkat ini terus mencerminkan visi Aveta terhadap pengembaraan yang lebih mudah diakses serta versatiliti untuk kegunaan harian.
Model yang dipertingkatkan ini ditawarkan pada harga RM16,688 tidak termasuk cukai jalan dan insurans.















