SEREMBAN – Seorang murid lelaki berusia sembilan tahun maut selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan ketika menyertai kejohanan sukan olahraga di sebuah sekolah di Lenggeng, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 11.09 pagi.
“Siasatan awal mendapati, pada pukul 9.20 pagi, mangsa dilihat orang awam terjatuh ke dalam saluran kumbahan berkenaan ketika program sukan berlangsung.
“Pasukan bomba yang tiba di lokasi berjaya mengeluarkan mangsa sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban, namun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, bedah siasat akan dijalankan di Hospital Rembau bagi mengenal pasti punca sebenar kematian, manakala siasatan awal mendapati insiden berkenaan berlaku akibat kemalangan tanpa sebarang unsur jenayah.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd. Asna Amin yang hadir bagi merasmikan program di sekolah berkenaan berkata, beliau sendiri melihat keadaan cemas itu.
“Seorang murid perempuan datang beritahu ada budak jatuh dalam lubang. Saya bersama beberapa orang terus ke lokasi, namun pada awalnya memang tidak nampak apa-apa. Selepas turun ke bawah, barulah kelihatan topi dan kasut terapung,” katanya.
Beliau berkata, seorang penduduk akhirnya menyelam ke dasar sebelum berjaya membawa keluar mangsa yang dipercayai berada di dalam lubang kumbahan itu hampir 10 minit.
Difahamkan, mangsa berusia yang juga anak kepada Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan terjatuh ketika memijak penutup lubang jenis fiber di kawasan sekolah semasa program kejohanan sukan olahraga di sekolah tersebut sekitar jam 9 pagi. – KOSMO! ONLINE