SEBERANG PERAI – Kementerian Pendidikan (KPM) menerima baik cadangan penglibatan pelajar dalam sesi libat khas melalui townhall berhubung penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Tribunal Anti-Buli.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya sedia mengadakan perbincangan bersama agensi berkaitan mengenai format pelaksanaannya dalam menjadikan pelajar sekolah rendah, menengah dan universiti sebagai pemegang taruh utama.
Menurutnya, proses mengenai pelaksanaan itu sudahpun dibincangkan di peringkat kementeriannya bagi mendapat pandangan daripada kumpulan pelajar terbabit.
“Kita tak ada masalah dengan pandangan dan cadangan itu. Jadi dalam isu ini, saya ingat pemegang taruh utama juga adalah anak-anak dan para pelajar kita.
“Saya ingat perkara itu kita boleh bincanglah bersama bagaimana format dan perbincangan mengenainya supaya natijah daripada townhall itu dapat kita buat satu rangkuman bahawa anak-anak jugalah pemegang taruh utama dalam isu tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai usaha kerajaan memperluas sesi libat urus khas melalui townhall bersama pelajar sekolah rendah, menengah dan universiti dalam usaha menggubal RUU Tribunal Anti-Buli.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan berkata, sesi berkenaan akan memberi ruang kepada pelbagai lapisan pelajar menyuarakan pandangan dan pengalaman mereka mengenai isu buli.
Terdahulu, Fadhlina hadir pada Program Temu Rakyat Parlimen Nibong Tebal di Dewan Serbaguna Sungai Bakap di sini dan meluangkan masa hampir tiga jam bagi mendengar luahan dan isu yang dihadapi penduduk di kawasan berkenaan. – KOSMO! ONLINE