fbpx
GAMBAR fail seorang budak bermain permainan PUBG. - Foto AFP

Remaja obses PUBG dipenjara 100 tahun ambil nyawa seluruh ahli keluarga.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LAHORE- Sebuah mahkamah Pakistan menjatuhkan hukuman penjara 100 tahun terhadap seorang remaja kerana membunuh ibu, abang dan dua adiknya akibat obses dengan permainan popular di internet, PUBG, lapor portal berita Independent semalam.

Keputusan diumumkan oleh sebuah mahkamah di Lahore pada Rabu lalu itu menamatkan kes pembunuhan keluarga paling mengejutkan di bandar raya tersebut.

Hakim Riaz Ahmed menjatuhkan hukuman penjara 100 tahun atas empat pertuduhan terhadap Zain Ali, 17, kata seorang pegawai mahkamah kepada agensi berita PTI.

Hakim menjatuhkan hukuman empat kali penjara seumur hidup iaitu 25 tahun bagi setiap pembunuhan dan bukan hukuman mati kerana usia tertuduh yang masih muda ketika jenayah itu berlaku.

“Hukuman dijatuhkan kerana tertuduh dengan kejam membunuh seluruh keluarganya di bawah pengaruh permainan di internet,” kata hakim.

Ali berusia 14 tahun ketika kejadian. 

Dia tinggal bersama keluarganya di kawasan padat Kahna, Lahore. 

Digambarkan sebagai seorang pemain tegar PUBG, dia dilaporkan menghabiskan sebahagian besar masanya terkunci di dalam bilik dan asyik dengan permainan itu, sehingga kerap dimarahi oleh ibunya, Nahid Mubarak, demikian menurut laporan media tempatan.

PUBG ialah permainan video berbilang pemain di internet di mana seramai 100 pemain bersaing sesama sendiri sebelum muncul seorang pemenang.

Menggunakan pistol berlesen milik ibunya, Ali masuk ke dalam bilik di mana ibunya sedang tidur bersama adik-adiknya lalu melepaskan tembakan.

Ibunya, Nahid, 45, abangnya, Taimur, 20; adik perempuannya Mahnoor, 15 dan Jannat, 10, terbunuh di tempat kejadian. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI