fbpx
Family Boat yang menyertai misi GSF ke Gaza dilaporkan mengalami kerosakan.

Sumud Flotilla: Kapal utama alami kerosakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Global Sumud Flotilla (GSF) mengesahkan salah sebuah kapal utama mereka iaitu Family Boat mengalami kerosakan mekanikal ketika rombongan itu bersiap untuk berlepas dari Crete menuju Gaza bagi pelayaran terakhir.

GSF menyifatkan insiden itu sebagai satu dugaan besar, namun menegaskan semangat para peserta misi tidak sedikit pun luntur.

“Walaupun Boat Family berdepan kerosakan, para peserta di atas kapal tersebut tetap tidak gentar dan terus berpegang teguh kepada misi ini,” jelas kenyataan itu hari ini.

Menurut GSF, semua peserta telah dipindahkan dengan selamat ke bot yang lain bersama kepakaran pelayaran, kemahiran komunikasi serta keupayaan penyelarasan diplomatik bagi memastikan misi dapat diteruskan.

Kata GSF, pusat operasi flotilla turut dilaporkan masih berfungsi seperti biasa tanpa sebarang gangguan besar.

“Semangat Sumud yang membimbing kami tidak akan mampu dipatahkan oleh kerosakan mekanikal, keadaan buruk, atau sebarang cubaan untuk menggagalkan misi aman ini.

“Kami terus belayar ke hadapan, bersatu dalam tujuan dan teguh dengan komitmen kami kepada rakyat Palestin,” tegas GSF.

Pada 8 September lalu, GSF dilaporkan berkata, pihaknya mengesahkan bahawa Family Boat yang membawa Ahli Jawatankuasa Pemandunya telah diserang dron milik Israel di perairan Tunisia sehingga berlaku kebakaran.

GSF berkata, kebakaran yang berlaku telah menyebabkan kerosakan pada geladak utama kapal dan ruang simpanan di bawah geladak, bagaimanapun kesemua enam penumpang serta anak kapal berada dalam keadaan selamat.

Setakat ini, lebih 500 sukarelawan GSF daripada 45 negara termasuk 34 delegasi dari Malaysia menaiki 53 buah kapal bagi bersama tiga kapal pemerhati menuju ke Semenanjung Gaza bagi menghantar bantuan makanan serta keperluan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN