SAYA ingin bertanya berkaitan trend terbaharu di media sosial yang menukar wajah kepada patung dengan menggunakan Artificial Intelligence (AI). Adakah diharuskan untuk melakukan sedemikian?
JAWAPAN: PERKEMBANGAN pesat AI telah membuka dimensi baharu dalam pelbagai bidang termasuk seni digital. Seiring dengan kemajuan ini, satu trend dalam media sosial yang semakin popular telah muncul, di mana pengguna menggunakan aplikasi berasaskan AI untuk menukar foto wajah mereka kepada imej patung atau miniatur.
Trend ini membolehkan pengguna mengambil gambar diri, haiwan peliharaan atau objek lain, lalu AI mengubahnya menjadi model tiga dimensi (3D) yang realistik atau bergaya mainan koleksi. Contohnya, patung kecil di atas meja dalam kotak mainan dengan butiran seperti latar belakang alam sekitar atau kotak pembungkusan.
Platform AI yang pelbagai ini membolehkan penggunanya mencipta imej photorealistic atau bergaya 3D. Fenomena ini yang pada dasarnya merupakan aktiviti santai dan hiburan, namun telah menimbulkan persoalan fiqh yang penting dari sudut pandang Islam iaitu berkaitan hukum membuat gambar makhluk bernyawa.
Dalam hal ini, perbuatan tersebut sememangnya berbeza sekali dengan larangan hadis yang mengharamkan perbuatan mengukir patung iaitu hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah Ibn Mas‘ud bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya manusia yang paling pedih azabnya di hari Kiamat ialah orang-orang yang mengukir patung (untuk disembah).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hal ini kerana ‘illah larangan dalam hadis ini merujuk kepada pembuatan patung yang mempunyai ukiran dan digunakan untuk disembah. Sedangkan trend yang berlaku itu melibatkan perbuatan menukar foto peribadi kepada gambar miniatur, bukan patung diukir secara sebenar dan hakiki, melainkan hanya sekadar gambar sahaja.
Hal ini sepertimana yang dinukilkan daripada Imam al-Nawawi bahawa: “Ini difahami kepada sesiapa yang mengukir patung untuk disembah, maka dia akan mendapat yang paling pedih kerana dia seorang yang kafir”.
Di samping itu, Syeikh Rashid Ridha juga menyatakan bahawa larangan dalam hadis ini merujuk kepada zaman jahiliah dahulu yang menyembah berhala dengan tujuan yang melalaikan dan mengambil berkat daripadanya.
Perkara ini akan membawa kepada perbuatan syirik kepada Allah SWT. Namun begitu, sekiranya kedua-dua perkara ini ternafi dan diniatkan untuk kemaslahatan, maka hukumnya sama seperti menggambarkan pokok dan tumbuh-tumbuhan.
Seterusnya, Syeikh Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram menyatakan secara jelas pandangan beliau berkaitan gambar bagi makhluk yang mempunyai roh seperti haiwan dan manusia, bahawa: “Sekiranya gambar itu merupakan makhluk yang mempunyai ruh dan tidak mempunyai unsur-unsur keharaman yang telah disebutkan iaitu tidak disucikan dan diagungkan serta tidak pula bertujuan menyaingi ciptaan Allah SWT, maka menurut pandanganku bahawa hukumnya juga tidak haram.”
Selain itu, terdapat hadis lain yang memberikan pengecualian terhadap hukum tersebut dalam beberapa keadaan seperti ingin digunakan untuk faedah pembelajaran dan permainan bagi kanak-kanak.
Oleh yang demikian, hukum perbuatan menukar wajah kepada gambar patung dengan menggunakan AI adalah harus dan dibolehkan selagi mana tidak melakukan perkara bercanggah dengan syarak.
Oleh yang demikian, kami menetapkan keharusan dengan beberapa garis panduan terhadap perbuatan ini. Pertama, gambar yang dihasilkan tersebut hanya berbentuk patung mainan atau miniatur dan tidak digunakan bagi ukiran patung sebenar.
Kedua, hendaklah gambar tersebut tidak menimbulkan fitnah atau syak yang menyebabkan pelakunya dituduh dengan tuduhan tidak baik.
Ketiga, hendaklah gambar tersebut tidak mengaibkan, mempamerkan aurat, menjatuhkan maruah dan seumpamanya.
Akhir sekali, tujuan gambar tersebut dihasilkan adalah sekadar untuk berhibur serta bukan berniat jahat seperti menjatuhkan orang lain, mencari perhatian orang ramai untuk ujub dan seumpamanya.