
APABILA menyebut tentang doktor gigi, ramai dalam kalangan masyarakat masih membayangkan prosedur asas seperti mencabut gigi, menampal gigi berlubang atau mencuci karang gigi.
Tidak kurang juga yang berasa takut setiap kali ingin mendapatkan rawatan di klinik pergigian.
tahukah anda, bidang pergigian hari ini telah jauh berkembang dan merangkumi pelbagai jenis rawatan yang kompleks serta berteknologi tinggi?
Sama seperti bidang perubatan, pergigian juga mempunyai banyak cabang kepakaran yang khusus.
Malangnya, ramai tidak mengetahui perkara ini kerana kurangnya pendedahan dan maklumat jelas.
Akibatnya, ramai pesakit tidak menyedari bahawa masalah yang mereka alami sebenarnya boleh dirawat dengan lebih baik oleh pakar pergigian.
Ada yang hanya mahu mendapatkan rawatan asas di klinik biasa. Malah, ada juga yang menangguhkan rawatan sehingga keadaan menjadi lebih serius.
Sebagai contoh, seseorang yang mengalami gigi jongang mungkin menganggap ia sekadar masalah kosmetik semata-mata.
Malah dalam kes yang lebih kompleks, rawatan bukan hanya melibatkan pemakaian pendakap gigi oleh pakar ortodontik, tetapi memerlukan kerjasama dengan pakar pembedahan mulut dan maksilofasial untuk membetulkan struktur rahang.
Begitu juga bagi pesakit yang mengalami gusi berdarah atau gigi yang longgar. Ramai yang tidak menyedari bahawa masalah ini sebenarnya memerlukan rawatan khusus daripada pakar periodontik (pakar gusi), bukan sekadar cucian gigi biasa.
Di Malaysia, bidang pergigian kini merangkumi 12 kepakaran yang diiktiraf oleh Majlis Pergigian Malaysia (MDC).
Setiap satu bidang itu memainkan peranan penting dalam menangani pelbagai jenis masalah pergigian dan kesihatan mulut secara menyeluruh.
1) Ortodontik berperanan membetulkan kedudukan gigi dan rahang yang tidak teratur seperti gigi jongang serta bertindih.
2) Periodontik berperanan merawat penyakit gusi dan struktur sokongan gigi.
3) Endodontik pula berperanan menjalankan rawatan akar gigi bagi gigi yang rosak teruk atau mati.
4) Prostodontik berperanan menggantikan gigi yang hilang menggunakan gigi palsu, jambatan dan implan.
5) Pembedahan mulut dan maksilofasial pula melibatkan pembedahan kompleks pada rahang, wajah, ketumbuhan dalam mulut dan kecederaan traumatik.
6) Pergigian kanak-kanak (Pediatrik Pergigian) berperanan memberikan rawatan khusus kepada kanak-kanak termasuk yang mempunyai keperluan khas.
7) Kesihatan pergigian awam pula memberi fokus kepada pencegahan penyakit dan promosi kesihatan mulut di peringkat komuniti.
8) Kepakaran patologi mulut berperanan menjalankan diagnosis penyakit mulut melalui pemeriksaan mikroskopik dan ujian tisu.
9) Pergigian restoratif berperanan memulihkan fungsi dan estetik gigi yang rosak secara menyeluruh.
10) Radiologi mulut dan maksilofasial pula menggunakan teknologi imejan seperti sinar-X, scan CT dan ujian pengimejan resonans magnet (MRI) untuk diagnosis serta perancangan rawatan.
11) Bagi pergigian keperluan khas, ia memberi rawatan kepada pesakit dengan keperluan fizikal, intelektual atau psikososial khas.
12) Odontologi forensik pula menggunakan rekod pergigian untuk membantu mengenal pasti individu dalam kes jenayah atau bencana.
Setiap kepakaran ini mempunyai peranan tersendiri dalam memastikan pesakit menerima rawatan yang tepat dan selamat.
Sebagai contoh, kes sumbing bibir dan lelangit (cleft lip and palate) tidak boleh ditangani oleh seorang doktor gigi sahaja.
Ia memerlukan kerjasama pelbagai pakar termasuk pakar ortodontik, pakar bedah mulut, pakar pediatrik pergigian, pakar terapi pertuturan serta gabungan pakar-pakar perubatan lain untuk mendapatkan hasil rawatan menyeluruh dari segi estetik, fungsi serta pertuturan.
Perkhidmatan pergigian boleh didapati melalui pelbagai jenis fasiliti, bergantung kepada keperluan pesakit dan lokasi sesuatu kawasan.
Klinik pergigian swasta lazimnya menawarkan rawatan asas yang merangkumi prosedur seperti cabutan gigi, tampalan gigi berlubang, pencucian karang gigi dan pemutihan gigi.
Rawatan ini memenuhi keperluan harian kebanyakan pesakit kerana bersifat segera atau tidak memerlukan intervensi yang kompleks.
Namun, tidak semua klinik pergigian swasta mempunyai kepakaran lanjut atau pakar pergigian tertentu di premis mereka.
Beberapa klinik pergigian pakar swasta, khususnya di bandar besar ada menyediakan rawatan lanjutan seperti pendakap gigi, implan, rawatan akar gigi atau masalah gusi.
Namun, ketersediaan rawatan pakar ini berbeza-beza bergantung kepada lokasi, fasiliti dan kehadiran pakar di klinik tersebut.
Di kawasan luar bandar, klinik swasta kebiasaannya terhad kepada rawatan asas sahaja. Sebaliknya, klinik dan hospital kerajaan menyediakan perkhidmatan yang lebih menyeluruh dengan merangkumi pelbagai cabang kepakaran.
Pesakit yang memerlukan rawatan lanjut boleh rujuk ke klinik pergigian pakar.
Tambahan pula, kos rawatan di hospital kerajaan adalah lebih berpatutan kerana sebahagian besarnya ditanggung oleh subsidi kerajaan.
Fakulti pergigian di universiti awam seperti di Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Teknologi Mara turut menawarkan perkhidmatan kepakaran pergigian kepada orang awam.
Di sini, rawatan dijalankan oleh pakar, pakar pelatih dan pelajar pergigian di bawah seliaan rapi dengan kos lebih rendah berbanding swasta.
Walaupun negara kita sudah memiliki infrastruktur dan tenaga pakar dalam bidang pergigian, namun cabaran utama dihadapi adalah kurangnya kesedaran masyarakat tentang kewujudan serta peranan setiap kepakaran pergigian ini.
Ramai pesakit masih tidak tahu bahawa mereka berhak bertanya kepada doktor gigi am tentang pilihan rawatan pakar.
Sebahagian pula tidak mendapatkan rawatan awal kerana beranggapan bahawa semua masalah gigi boleh diselesaikan dengan cabutan atau tampalan sahaja.
Peranan doktor gigi am juga penting dalam sistem rawatan pergigian.
Mereka bukan sahaja memberikan rawatan asas, tetapi memainkan peranan sebagai barisan hadapan yang mengenal pasti kes-kes memerlukan rujukan kepada pakar.
Justeru, penting untuk menjadikan pemeriksaan gigi berkala sebagai sebahagian daripada rutin kesihatan, bukan hanya datang apabila sakit.
Dengan kemajuan teknologi pergigian, peralatan moden dan latihan berterusan kepada pakar, rakyat Malaysia kini mempunyai akses kepada rawatan pergigian bertaraf antarabangsa.
Rawatan menggunakan teknik digital, implan moden, peralatan radiologi beresolusi tinggi dan pendekatan interdisiplin telah menjadikan pergigian lebih efektif serta selamat.
Namun, akses sahaja tidak mencukupi jika masyarakat tidak sedar akan pilihan rawatan yang tersedia.
Kesimpulannya, kesihatan mulut bukan hanya soal gigi yang cantik atau nafas yang segar. Ia berkait rapat dengan kesihatan tubuh secara keseluruhan.
Masalah gigi yang dibiarkan tanpa rawatan boleh memberi kesan kepada pemakanan, pertuturan, kesihatan jantung dan kualiti hidup.
Dr. Umi Mardhiyyah Mat Ali merupakan Pensyarah Pergigian & Pakar Ortodontik Pusat Pengajian Sains Pergigian Universiti Sains Malaysia














