fbpx
Anwar

Malaysia ketuai perbincangan global masa depan keselamatan sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA– Malaysia bakal menjadi tumpuan dunia apabila Forum Keselamatan Sosial Dunia 2025 (WSSF 2025) membuka tirai di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula 29 September hingga 3 Oktober ini.

Acara dwitahunan itu menghimpunkan hampir 1,500 peserta dari lebih 150 negara, termasuk menteri, ketua pegawai eksekutif, pakar teknikal serta wakil organisasi antarabangsa bagi membincangkan masa depan keselamatan sosial.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan forum lima hari tersebut yang turut dihadiri Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong dan Presiden Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Bertemakan “Membentuk Keselamatan Sosial untuk Dunia dalam Peralihan”, WSSF 2025 memberi tumpuan kepada isu perubahan demografi global, dinamik pasaran buruh serta kesan teknologi baharu terhadap perlindungan sosial.

Antara nama besar yang hadir ialah Fiona Elizabeth Stewart, Ketua Global Bank Dunia dalam bidang Penuaan dan Pencen serta Razavi Shahrashoub, Pengarah Perlindungan Sosial Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Delegasi dari negara seperti Amerika Syarikat, China, Jerman, Sepanyol, Brazil, Iceland, Switzerland, Oman, Cameroon, Türkiye, India dan Uruguay turut mengambil bahagian.

Malaysia sendiri akan mengetengahkan pendekatannya melalui sesi plenari nasional membabitkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad; Menteri Digital, Gobind Singh Deo; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri.

Selain sesi pleno dan bengkel, forum kali ini buat julung kalinya memperkenalkan Festival dan Anugerah Video Keselamatan Sosial Antarabangsa, di samping penganugerahan Anugerah Pencapaian Cemerlang ISSA kepada negara yang berjaya memperkukuh sistem keselamatan sosial. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN