fbpx
Mohd Na'im.

Solat hajat doakan keselamatan Global Sumud Flotilla esok – Mohd. Na’im

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Semua masjid utama dan surau di Wilayah Persekutuan akan mengadakan solat hajat esok bagi mendoakan keselamatan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, solat hajat tersebut akan dilaksanakan selepas solat Jumaat di masjid dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan.

“Saya mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menyelaras pelaksanaan solat hajat selepas solat Jumaat.

“Bagi menyatakan solidariti serta memohon pertolongan daripada Allah S.W.T agar keselamatan para sukarelawan dan kelancaran misi ini sentiasa dipelihara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Mohd. Na’im berkata, perkembangan berhubung misi kemanusiaan tersebut menghadapi pelbagai gangguan dan ancaman ketika semakin hampir dengan zon kritikal amat membimbangkan.

Kata beliau, rakyat Malaysia diseru mendoakan supaya misi kemanusiaan itu dipermudahkan, para sukarelawan diberikan perlindungan dan kekuatan serta menjadi sumber kekuatan kepada rakyat Palestin yang terus berjuang mempertahankan tanah air mereka.

“Semoga Malaysia sentiasa diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada usaha kemanusiaan sejagat dan doa kita menjadi asbab kejayaan misi ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN