PETALING JAYA – Seorang Timbalan Pendakwa Raya (TPR) yang baharu melapor diri seminggu di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikatakan masih berada dalam keadaan mabuk dan khayal dadah ketika ditahan polis di Putrajaya kelmarin.
Sumber berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, dua anggota polis peronda yang bertindak atas maklumat awam telah ke alamat suspek lelaki yang berusia 36 tahun tersebut.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian seorang ahli keluarga suspek memberitahu lelaki tersebut berada dalam keadaan mabuk dan khayal.
“Hasil pemeriksaan pihak polis di dalam beg berwarna coklat milik suspek menemukan satu peket lutsinar dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 1.10 gram,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, hasil ujian air kencing terhadap TPR tersebut mendapati dia positif dadah.
“Tangkapan ini berkaitan kesalahan memiliki dadah dan ujian air kencing juga didapati positif. Pihak berkaitan masih membantu siasatan lanjut,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, dekat sini semalam.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan dipetik berkata, suspek tersebut direman selama tiga hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Di Cyberjaya, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, SPRM akan mencadangkan kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar supaya TPR yang ditahan polis berkaitan kes dadah tersebut direhatkan daripada menjalankan tugas.
Azam berkata, pegawai terbabit baru sahaja melaporkan diri pada minggu lalu sebagai ‘secondment officer’ dari Jabatan Peguam Negara.
Susulan itu, katanya, tindakan segera akan diambil dengan berbincang bersama Peguam Negara serta menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut.
“Ini satu perkara yang tidak dijangka dan kes ini sedang disiasat oleh pihak polis, saya juga ada berhubung dengan Peguam Negara kerana dia (suspek) dari Jabatan Peguam Negara.
“Dan kami berdua serahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan, sekiranya ada kes, polis boleh bawa kepada mahkamah,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri ‘Integrity and Leadership Day 2025’ di Universiti Multimedia, Cyberjaya semalam.
Ditanya sama ada pegawai terbabit ada menjalani tapisan kesihatan termasuk saringan dadah, Azam menjelaskan bahawa pegawai terbabit telah pun berkhidmat di Jabatan Peguam Negara sebelum ini dan sudah tentu telah melalui pelbagai jenis tapisan.














