fbpx
Saiful dengan ikan ebek berumpankan sotong segar.

Pengalaman memancing di Pelantar Minyak Jernih A dan B

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PADA pukul 3 petang, bot mula bergerak meninggalkan jeti Pengkalan Petah di Kemasin Bachok, Kelantan. Kami sempat berhenti seketika di dalam perjalanan untuk mencandat sotong yang disimpan hidup sebagai bekalan umpan.

Kawasan Pelantar Minyak Jernih A masih beroperasi sepenuhnya, tetapi tidak bagi Pelantar Minyak Jernih B yang telah dihentikan operasinya.

Perairan ini berkedalaman rata-rata melebihi 100 meter berdasarkan bacaan dari skrin kekili elektrik yang kami gunakan.

Peralatan
Kami menggunakan perambut minimum sekitar 30 paun (lb) untuk pancingan di siang hari kerana biasanya ikan-ikan lebih culas dan saiznya kecil.

Manakala untuk pancingan di malam hari, kami gunakan perambut berkekuatan 70lb ke atas kerana target ikan bersaiz kasar.

Batu ladung pula kami guna maksimum saiz 720 gram, mengikut kekuatan arus dan posisi pemancing di dalam bot.

Disebabkan bot berlabuh agak jauh dari pelantar minyak, peman­cing yang duduk di bahagian belakang bot perlu menggunakan batu ladung bersaiz kecil agar dapat menghanyutkan umpan serapat mungkin ke kaki tiang pelantar minyak.

Asasnya, bagi pemancing yang berposisi di hadapan bot harus menggunakan batu ladung yang paling besar, diikuti oleh peman­cing duduk di tengah bot dengan batu ladung sederhana besar. Bagi pemancing yang duduk di belakang bot, batu ladung paling kecil.

Kata sepakat dan bekerjasama amat penting dalam hal ini bagi mengelakkan semua orang membuang masa membetulkan tali pancing yang berserabut.

Setelah percaturan tersebut diambil kira, maka masalah semasa memancing dapat dikurangkan dalam suasana pancingan yang lebih seronok.

Hasil
Mangsa pertama yang dinaikkan pada trip ini bukanlah seekor ikan, tetapi sebaliknya seekor sotong mengabang yang diperolehi Izan. Jemuduk pula menjadi ikan pertama trip yang didaratkan oleh Rahmad.

Antara hasil pancingan pada hari kedua yang diperolehi termasuklah beberapa ekor ikan merah, ebek serta jenahak.

Kapal yang membawa pekerja dan bekalan makanan ke pelantar minyak.

Malah, dalam kekalutan mendaratkan ebek yang diperolehi Saiful, sempat lagi dicukai oleh ‘samseng kawasan’ iaitu barracuda.

Sesuatu yang menarik yang dapat saya perhatikan apabila ikan ebek banyak membaham umpan peman­cing di bahagian belakang bot kerana Yeop memperolehi beberapa ekor ebek berjarak dalam tempoh lebih kurang satu jam seekor.

Ini berkemungkinan batu ladung ringan yang dia gunakan membuatkan umpan berbuai dengan lebih cantik.

Malam hampir menjelma dan tekong bot membongkar sauh untuk ke Pelantar Minyak Jernih A semula yang mana jarak di antara kedua-duanya dalam anggaran saya lebih kurang tiga kilometer.

Sebelum sauh diturunkan, masing-masing telah bersedia di sisi joran dan hanya menunggu arahan tekong untuk melabuhkan umpan.

Sebaik umpan diturunkan, Lan memperolehi seekor jenahak, kemudian saya yang duduk bersebelahan dengannya menyusul dengan seekor ikan gerepoh. Saya menggunakan kekili elektrik yang sudah lama saya tidak guna.

Dek kerana terkejut dengan tugasan berat yang tiba-tiba terpaksa dilakukan, bacaan meternya terus menjadi ‘sewel’. Mujur juga saya membawa kekili elektrik lain sebagai pengganti.

Sebenarnya untuk trip sebegini, setiap pemancing perlu ada peralatan simpanan untuk mengha-
dapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku ke atas peralatan utama.

Jadi, pemancing tidak membazir belanja trip dan langsung tak dapat beraksi jika ada peralatan pancing yang rosak

Sementara itu, kami dikejutkan pula dengan tangkapan terbaik oleh Iruan iaitu seekor ikan snub nose pompano atau dikenali sebagai ikan bawal mas atau bawal pinang seberat 6.9 kilogram (kg). Satu tangkapan yang jarang-jarang diperolehi dengan saiz sebegitu di lokasi yang begitu jauh dari pesisir pantai.

Sesi pancingan diteruskan, namun menjadi agak suram se­­hingga menjelang pagi.

Apabila ikan tidak mahu buka mulut, mata masing-masing mula mengantuk, dan akhirnya rata-rata semua tidur di sisi joran yang telah dipasang loceng penggera, namun semuanya hampa sehingga pagi.

Hari keempat selepas sarapan, bot terus bergerak pulang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN