BAKU – Bekas juara dunia, Jacques Villeneuve memberi amaran bahawa McLaren mungkin terpaksa mengutamakan Oscar Piastri dalam perebutan kejuaraan dunia Formula Satu (F1) musim ini sekiranya Max Verstappen terus mengekalkan rentak kemenangan.
Verstappen menjuarai Grand Prix (GP) Azerbaijan hujung minggu lalu iaitu kemenangan keempatnya musim ini sekali gus mengurangkan defisit dengan Piastri daripada 104 mata kepada hanya 69.
Piastri yang kini pendahulu kejuaraan gagal menamatkan perlumbaan selepas terbabas, manakala rakan sepasukannya, Lando Norris hanya menamatkan saingan di tempat ketujuh dan jurang antara dua pemandu McLaren kini sekadar 25 mata dengan baki tujuh perlumbaan.
“Masalah untuk Lando adalah jika Verstappen semakin dekat, McLaren perlu mula mengutamakan Piastri dan menjadikannya pemandu nombor satu. Ketika itu, pertarungan bukan lagi dengan rakan sepasukan, tetapi dengan pelumba terbaik dunia dari pasukan lain,” kata Villeneuve.
Dia turut menegaskan Red Bull lebih berpengalaman mengendalikan tekanan berbanding McLaren, sekali gus memberi kelebihan kepada Verstappen yang kini dalam posisi sebagai pemburu.
“Apabila anda di hadapan, anda cenderung menoleh ke belakang. Tetapi, Verstappen lebih tenang kerana dia tahu apa yang perlu dilakukan untuk mengejar,” ujarnya.
Sementara itu, Verstappen enggan terlalu yakin mempertahankan kejuaraan dunia kelima berturut-turut, namun mengakui peluang masih ada. – AGENSI