PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz bersedia untuk melayan kunjungan Bangkok United bagi memburu kemenangan kedua pada aksi Kumpulan B Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium Sultan Ibrahim, petang ini.
Munoz, 45, berkata, beliau percaya kemenangan itu bukanlah mudah diraih setelah kelab Thailand itu dibarisi ramai pemain berkualiti dan mampu memberi tentangan hebat bagi meraih tiga mata.
Katanya, pemain Harimau Selatan diingatkan untuk memberi konsentrasi penuh di atas padang dan tidak melakukan kesilapan mudah yang boleh menjejaskan misi memburu tiga mata.
“Selepas berpesta gol 8-0 ke atas Sabah FC, pemain perlu mengekalkan rentak kemenangan itu walaupun ia pertandingan yang berbeza, namun mereka perlu memberi persembahan terbaik dan mengekalkan disiplin sepanjang perlawanan.
“Pemain harus mempunyai keyakinan tinggi untuk beraksi dengan lebih baik dengan mempamer corak berintensiti tinggi bagi memburu kemenangan kedua dalam peringkat kumpulan saingan ACC.
“Corak permainan yang bakal ditampilkan Bangkok United kemungkinan sama seperti Buriram United, namun kami akan berusaha mengatasinya dengan memberi aksi yang berkualiti,” katanya.
Pada 21 Ogos lalu, JDT membuka kempen ACC dengan kemenangan setelah menewaskan Lion City Sailors 3-1 hasil dua jaringan Joao Figueiredo dan satu gol lagi dihasilkan Arif Aiman Hanapi.
Munoz berkata, beliau tidak mahu skuad Harimau Selatan mengulangi kesilapan apabila tewas 1-2 kepada Buriram United dalam aksi pertama Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) disebabkan hilang fokus.