ADELA bergambar berlatarbelakangkan panorama sebuah gunung.

Pendakian penuh liku 110km di King’s Trail Sweden

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGI pencinta aktiviti luar, mendaki bukan sekadar perjalanan menawan puncak, malah ruang untuk mengenali kemampuan diri dalam situasi tidak dijangka.

Itu menjadi pendorong kuat buat pendaki menyahut setiap cabaran luar biasa di setiap lokasi tanah tinggi yang dikunjungi.

Itu juga menjadi pendorong buat Adela Roslan untuk mendaki sejauh 110 kilometer (km) di King’s Trail atau Kungsleden, Sweden iaitu salah laluan pendakian paling terkenal di dunia.

Katanya, minat terhadap dunia pendakian bermula sejak zaman pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) apabila dia menyertai KRESMA iaitu kelab rekreasi universiti. 

“Dari situ, minat yang pada awalnya sekadar aktiviti hujung minggu berkembang menjadi rasa cinta terhadap ekspedisi yang lebih mencabar, termasuk mendaki pelbagai gunung bersama rakan-rakan.

“Pemilihan King’s Trail bukan sekadar mahu menikmati panorama Scandinavia, sebaliknya ingin menguji kemampuan fizikal dan mental melalui trek yang menawarkan pelbagai jenis permukaan,” katanya ketika ditemu bual CitaRasa.

Tambahnya, antara faktor dia memilih King’s Trail adalah kerana ingin mencuba trek baharu yang merangkumi semua jenis permukaan seperti tanah, batu, sungai, rumput, laluan kayu, hutan dan kawasan terbuka. 

Pada masa sama, Adela mahu mencabar diri berjalan lebih dari 90 kilometer.

Walaupun ramai menyangka laluan berbatu atau bukit menjadi cabaran terbesar, namun pengalaman Adela ternyata berbeza. 

ADELA terpaksa menempuh cuaca sejuk sepanjang pendakian di King’s Trail, Sweden.

Baginya, kawasan terbuka di Sweden jauh lebih mencabar berbanding hutan.

“Kawasan terbuka nampak luas dan jauh. Kita tak nampak penghujungnya. Kena terus berjalan sampai jumpa titik penamat atau laluan keluar. 

“Tambahan pula, tak ada pokok besar, jadi angin sangat kuat dan cuaca jadi terlalu sejuk, walaupun ketika musim panas,” jelas kakitangan sektor perbankan itu.

Keadaan itu memerlukan strategi pakaian yang tepat, dan sistem lapisan pakaian atau layering menjadi elemen penting sepanjang perjalanan.

Adela turut menekankan keperluan memisahkan pakaian untuk mendaki dan pakaian tidur supaya kekal kering, selain membantu badan mengekalkan haba.

“Cabaran sebenar turut hadir ketika menyeberangi sungai bersuhu sejuk. Air yang terlalu sejuk boleh menyebabkan kaki menjadi kejang.

“Saya redah saja sambil menggigil sebab air sungai memang sejuk macam ais. Lepas menyeberang, saya akan berhenti dan terus tukar stoking. 

“Stoking tambahan sangat penting sebab kalau kaki sejuk dan basah, mudah melecet pada jari dan buku lali,” kongsinya.

Selain menukar stoking, dia turut menggunakan bedak askar sebelum menyarung stoking baharu bagi memastikan kaki kekal selesa sepanjang perjalanan.

Untuk memastikan tubuh mampu menampung perjalanan sejauh itu, persiapan perlu dibuat lebih awal. 

SALAH satu tempat penginapan yang disinggahi oleh Adela sepanjang pendakian.

Dua bulan sebelum berlepas ke Sweden, Adela melatih daya tahan dengan berjalan kaki setiap hari melebihi lima kilometer dan mendaki gunung setiap hujung minggu sambil membawa beban tambahan dalam beg.

Dari sudut pemakanan pula, dia meningkatkan pengambilan protein, memastikan tubuh sentiasa terhidrat dan menambah sedikit garam dalam makanan bagi membantu mengurangkan risiko kekejangan otot.

Bagi Adela, salah satu pengalaman paling unik sepanjang ekspedisi itu adalah keadaan musim panas Sweden yang menyaksikan matahari masih terang sehingga sekitar pukul 2 pagi.

Namun di sebalik keindahan itu, ada juga saat yang hampir membuatkan Adela menyerah. Cuaca terlalu sejuk menyebabkan tangan mula kejang, tenaga semakin susut dan hidung menjadi merah. 

Menurut Adela, pengalaman di Sweden berbeza berbanding pendakian di Malaysia. 

Katanya, pendaki tempatan sering menegur, bertanya tentang peralatan dan memberi nasihat, malah ramai keluarga membawa anak kecil serta anjing peliharaan mendaki.

Bagi Adela, kejayaan menamatkan King’s Trail memberi satu pengajaran penting iaitu persediaan bukan sekadar latihan fizikal, sebaliknya pemahaman tentang cuaca, pemilihan pakaian, kasut serta kelengkapan yang tepat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN