PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz mengakui pasukannya tidak akan pernah puas walaupun berjaya melunaskan misi meraih gelaran quadruple keempat berturut-turut selepas menjuarai Piala Malaysia pada musim ini.
Pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil kelmarin, skuad Harimau Selatan menerima tentangan sengit daripada Kuching City sebelum menang 2-0 menerusil jaringan Marcos Guilherme dan Arif Aiman Hanapi.
Menurut Munoz, pasukannya akan terus bekerja keras selain memberi bayangan bahawa JDT akan berkembang ke tahap lebih tinggi pada musim depan.
“Apa yang kami lakukan sehingga hari ini masih belum mencukupi. Kami perlu terus memperbaiki diri, terus bersaing dan sentiasa cuba melangkah setapak lagi ke hadapan,” katanya.
Pengendali dari Sepanyol itu turut mengakui aksi final itu bukan sesuatu yang mudah apabila The Cats memberi tentangan sengit terutama pada babak pertama menerusi corak permainan cukup tersusun.
Menurut Xisco, perubahan taktikal pada babak kedua termasuk memasukkan Arif Aiman telah mengubah corak perlawanan sehingga pasukan berjaya meledak dua gol dramatik pada 10 minit terakhir perlawanan.
“Kita tahu tidak akan menang dengan percuma kerana Kuching City ada gaya permainan menarik dan cukup kuat. Kami cuba mencari penyelesaian sepanjang permainan.
“Apabila Arif masuk, dia beritahu saya, ‘jurulatih, bertenang, tiada masalah, saya boleh ubah situasi’ dan dia benar-benar mengubah keadaan itu. Jadi saya sangat gembira dengan perkara itu,” kata Munoz.
Kemenangan tersebut melengkapkan satu lagi musim sempurna buat JDT selepas turut menjulang Liga Super, Piala FA dan Piala Sumbangsih musim ini.














