TONGGAK import Selangor FC, Hugo Boumous percaya peluang pasukan untuk melakar sejarah menjuarai Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) belum tertutup sepenuhnya menjelang aksi final kedua menentang Buriram United Rabu ini.
Menurut Boumous, kegagalan pasukan meraih keputusan positif selepas tewas 0-1 pada aksi pertama final pertama di Stadium MB Petaling Jaya, Rabu lalu perlu dijadikan sebagai pengajaran berguna.
Pemain kelahiran Perancis itu berkata, banyak perkara positif boleh diambil, terutamanya selepas rakan sepasukan membuktikan mereka mampu bersaing dengan pasukan terbaik di rantau ini.
“Kami bermain dengan baik dan menunjukkan bahawa kami mampu bersaing dengan pasukan terbaik di rantau ini. Cuma, dalam perlawanan seperti ini, anda perlu lebih klinikal ketika mendapat peluang.
“Mereka menggunakan peluang yang ada dan sebab itu mereka menang. Pada aksi kedua nanti, saya harap pasukan dapat tampil lebih berani dan itu sangat penting dalam perlawanan final seperti ini,” katanya.
Sementara itu, Boumous turut memuji suasana positif dalam bilik persalinan Selangor sambil menyifatkan keyakinan diberikan oleh ketua jurulatih, Kim Pan-gon bakal menjadi faktor penting peningkatan prestasi pasukan.
“Saya melihat suasana yang sangat baik dalam bilik persalinan dan itu amat penting untuk kejayaan. Jurulatih memberi keyakinan kepada pemain sehingga kami sentiasa berusaha meningkatkan standard permainan kerana berkongsi idea serta falsafah yang sama,” ujarnya.
Selain daripada memburu hadiah kemenangan sebanyak AS$425,000 (RM1.7 juta), Selangor terdesak untuk menang juara ACC bagi memastikan pasukan dapat kekal beraksi di peringkat antarabangsa musim depan selaku juara bertahan.
Situasi ini kerana harapan skuad Merah Kuning untuk bersaing dalam kempen Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) tidak kesampaian selepas menamatkan saingan Liga Super di kedudukan ketiga musim ini.














