KUALA LUMPUR – Beratus-ratus penduduk yang menghuni projek perumahan rakyat (PPR) Seri Cempaka, Pantai Dalam di sini kelmarin cemas selepas kediaman mereka dibadai ribut kencang sehingga mengakibatkan bumbung diterbangkan angin.
Kejadian kira-kira pukul 4 petang itu turut mengakibatkan kenderaan milik penduduk rosak akibat dihempap serpihan siling dan bumbung yang tercabut.
Seorang penduduk, Mohd. Haidir Sulaiman, 38, berkata, kejadian itu merupakan kejadian ribut paling teruk yang pernah dialami sepanjang 12 tahun dia menetap di kawasan berkenaan.
Mohd. Haidir yang menghuni rumah di tingkat 17 Blok E berkata, kejadian berlaku ketika dia berada di rumah bersama anak perempuannya berusia 12 tahun.
“Saya ingat hujan biasa, tetapi angin sangat kuat sehingga bumbung terangkat dan siling terjatuh menyebabkan air melimpah masuk ke dalam rumah.
“Habis barang dalam rumah bersepah ditiup angin dan anak saya pun sudah menangis ketakutan,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd. Haidir berkata, dia bagaimanapun tidak dapat keluar dari rumah berikutan angin terlampau kuat.
“Saya tidak boleh buka pintu rumah kerana angin sangat kencang dan kami berlindung di dalam bilik sementara itu. Selepas 30 minit, keadaan sedikit tenang dan saya bawa anak lari ke bawah PPR,” jelasnya.
Sementara itu, pasangan suami isteri, Khairul Azmi, 45, Norli Mohamat Nor, 46, tidak menyangka rumah yang mereka diami mengalami kerosakan 100 peratus.
Menurut Norli, ketika kejadian, dia berada di luar dan suaminya keluar bekerja dan dia manakala empat anak mereka berada di sekolah.
“Saya dapat panggilan daripada jiran kata bumbung rumah saya dah terbang. Saya terus hubungi suami dan ketika dalan perjalanan balik, dia nampak dari jalan besar memang bumbung sudah tiada.
“Alhamdulillah, waktu itu tiada orang di rumah dan tiada kemalangan jiwa, cuma kerosakan harta benda sahaja,” katanya.
Norli berkata, ia merupakan kejadian pertama yang menimpa keluarganya sejak menetap di sini tujuh tahu lalu.
“Kalau kita tengok sekarang ini, boleh kata kerosakkan memang 100 peratus. Saya pun tak tahu apa barang yang boleh pakai lagi.
“Buat masa ini, Kami ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Komuniti Lembah Pantai,” katanya.
Sementara itu, lima keluarga terjejas dalam insiden ribut dan angin kencang yang menyebabkan bumbung rumah tercabut menerima bantuan awal sebanyak RM1,000.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, dalam kejadian tersebut, sebanyak sembilan unit kediaman terjejas.
Menurutnya, sebanyak 25 kenderaan penduduk turut mengalami kerosakan akibat dihempap serpihan bumbung.
“Lima daripadanya mengalami kerosakan serius manakala selebihnya hanya mengalami kerosakan ringan.
“Lima keluarga terjejas ditawarkan penempatan di Rumah Transit DBKL,” katanya.














