BATU PAHAT – Tindakan seorang wanita warga Vietnam mencari ‘duit tepi’ dengan memberi pinjaman wang tanpa lesen atau along kepada warga asing mengundang padah apabila dia didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Dhilip Nair R N Atchuthan menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Phi Thi Hong, 42, yang juga pekerja pembersihan selepas mengaku salah memiliki kad mesin juruwang automatik (ATM) milik warga asing bagi aktiviti along.
Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda. Tertuduh kemudian membayar denda itu.
Mengikut pertuduhan, ibu kepada tiga anak didakwa memiliki 18 kad ATM tanpa tujuan sah yang merupakan suatu instrumen pembayaran milik orang lain di sebuah rumah Taman Megah di sini, 5 September lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 424A Kanun Keseksaan yang boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima maklumat kegiatan tertuduh menjalankan aktiviti pinjaman wang tanpa lesen.
Hasil pemeriksaan menemui sejumlah 18 kad milik peminjam dan siasatan mendapati tertuduh menawarkan pinjaman kepada pekerja asing dengan kadar faedah tinggi.
Selepas memberi pinjaman, tertuduh meminta mangsa menyerahkan kad ATM berserta nombor pin untuk memudahkan urusan bayaran bulanan dibuat secara tunai.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Song Yan.-KOSMO! ONLINE