WASHINGTON – Misteri objek menyerupai bola emas yang ditemui pasukan penjelajah semasa ekspedisi di Teluk Alaska akhirnya terungkai selepas ia mencetuskan kebimbangan mengenai kehadiran makhluk asing, lapor akhbar Metro UK semalam.
Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) berkata, teka-teki itu terjawab hampir tiga tahun selepas kapal selam kawalan jauh, Deep Discoverer menemui entiti aneh berukuran lebih 10 sentimeter itu.
Saintis mengenal pasti ‘telur emas’ atau ‘bola emas’ itu sebenarnya sisa anemon laut dalam.
Ditemui 3.25 kilometer di dasar laut di Teluk Alaska, objek aneh berbentuk gundukan emas itu mempunyai lubang dan melekat pada batu.
Seperti kebanyakan spesimen laut dalam, terdapat ruang menyeramkan di sekelilingnya, dengan spekulasi sama ada sesuatu telah merangkak masuk atau menemui jalan keluar.
‘Telur’ tersebut sebenarnya sisa sel mati yang terbentuk di pangkal anemon laut dalam atau nama saintifiknya, Relicanthus daphneae.
“Ini merupakan misteri kompleks yang memerlukan kepakaran morfologi, genetik, laut dalam dan bioinformatik untuk diselesaikan,” kata Pengarah Makmal Sistematik Kebangsaan Perikanan NOAA, Profesor Allen Collins. – AGENSI














