KUALA LUMPUR – Seramai 115 pegawai dan anggota trafik akan ditugaskan bagi memastikan kelancaran lalu lintas sempena perlawanan Piala Sultan Selangor 2025 yang berlangsung di Stadium Merdeka, Sabtu ini.
Perlawanan yang menemukan pasukan Selangor dan Singapura itu dijadual bermula pada pukul 9 malam, namun penutupan serta lencongan jalan raya di sekitar kawasan stadium akan berkuat kuasa seawal pukul 2 petang sehingga tamat acara.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur akan menutup beberapa laluan utama secara berperingkat .
Katanya, ia membabitkan Jalan Maharajalela (Bulatan Merdeka), Jalan Hang Tuah (susur masuk ke Jalan Hang Jebat), Jalan Hang Jebat, Jalan Stadium dan Jalan Merdeka.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal, mematuhi papan tanda dan arahan anggota polis yang berada di lokasi.
“Orang ramai turut digalakkan menggunakan pengangkutan awam untuk ke Stadium Merdeka bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Bilik Gerakan JSPT Kuala Lumpur di talian 03-2026 0267 / 0269, selain mana-mana balai polis berdekatan. – KOSMO! ONLINE