BANGI – Nekad mencari untung mudah, seorang wanita sanggup meneruskan kegiatan sebagai ‘ulat’ kereta sewa haram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) meskipun wajah dan tindak-tanduknya pernah tular kerana menipu pelancong asing.
Bagaimanapun, kelicikan wanita tempatan berusia 30-an itu akhirnya terbongkar apabila diberkas sepasukan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor dalam serbuan di KLIA Terminal 2 kira-kira pukul 1 pagi Isnin.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, suspek dipercayai aktif bergerak secara berkumpulan menawarkan khidmat kereta sewa haram kepada pelancong yang baru tiba di lapangan terbang.
“Walaupun perbuatannya sudah tular sebelum ini, dia masih berdegil meneruskan modus operandi sama. Kita anggap dia sebagai ulat tegar,” katanya, di sini hari ini.
Menurut Azrin, kereta jenis Perodua Axia yang digunakan suspek telah disita mengikut Seksyen 81(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2017, malah JPJ juga memohon lucut hak kenderaan berkenaan di mahkamah.
Taktik wanita itu ialah menawarkan harga rendah untuk memancing mangsa, sebelum mengenakan caj melampau selepas tiba di destinasi.
“Kes yang tular sebelum ini melibatkan seorang pelancong dari China yang dijanjikan harga RM83, namun akhirnya dikenakan bayaran RM836. Semasa ditahan, dia turut dikesan cuba memerangkap seorang pelancong dari Filipina,” jelasnya.
Tambah beliau, walaupun setakat ini tiada laporan mangsa diugut, caj tidak masuk akal itu jelas memberi imej buruk kepada negara.
Sementara itu, statistik kes teksi haram di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 tahun ini hingga 22 September merekodkan 143 tangkapan termasuk warga asing, dengan jumlah denda mencecah RM419,200.
Azrin berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang mencemar nama baik negara dengan memperdaya pelancong.
“Ulat-ulat ini jangan fikir mereka boleh lepas. JPJ akan terus mengadakan operasi dari masa ke masa,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook turut menzahirkan penghargaan kepada JPJ atas tindakan pantas mengekang kegiatan haram berkenaan. – KOSMO! ONLINE