PETALING JAYA – Seorang anak peniaga cendol antara 43 pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang bakal melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Al-Azhar, Mesir.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, peluang itu mampu mengubah masa depan keluarga pelajar berkenaan.
“Tahun ini mencatat sejarah apabila Mara kembali menghantar pelajar perubatan dan pergigian ke Universiti Al-Azhar selepas kali terakhir pada 2013 bagi perubatan dan 2019 bagi pergigian,” katanya menerusi Facebook, hari ini.
Beliau berkata, seramai 42 pelajar akan berlepas ke Mesir manakala 91 lagi ke Korea Selatan bagi mengikuti bidang strategik termasuk perubatan, pergigian, automasi dan teknologi maklumat.
Katanya, hasil rundingan dengan Presiden Universiti Al-Azhar, Mara berjaya memperoleh pengurangan yuran pengajian kepada hanya RM90,000 untuk tempoh lima tahun, penjimatan besar berbanding kos di universiti tempatan.
Beliau yakin pelajar-pelajar berkenaan akan menjadi duta kecil negara dan kembali sebagai tenaga pakar yang mampu menyumbang kepada agama, bangsa dan tanah air. – KOSMO! ONLINE