fbpx
Zoey (kiri) dan Dr. Afif menyarankan agar kaum lelaki tidak selalu menggayakan seluar ketat demi menjaga kesihatan.

‘Lelaki nak tidur, jangan pakai seluar ketat, bagus guna sarung’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pelakon dan pengacara Zoey Rahman risau dengan gaya hidup masa kini sesetengah lelaki yang gemar memakai seluar ketat atau cutting slim fit. 

Sebagai seorang selebriti yang amat menitikberatkan soal kesihatan, usahawan produk kosmetik Mika Series itu mengingatkan agar lelaki di luar sana berhati-hati mengikut trend fesyen yang boleh membahayakan alat sulit lelaki. 

“Zaman sekarang, fesyen atau stail hipster menjadi trend golongan lelaki muda. Saya sendiri pun tidak terlepas mengikut trend fesyen semasa. 

“Iyalah, saya perlu mengikut trend semasa namun dalam masa yang sama, saya sendiri jarang memakai seluar ketat demi keselesaan dan kesihatan alat sulit. 

“Namun dalam berfesyen, saya risau apabila terdapat sesetengah lelaki yang gemar memakai seluar ketat atau slim fit tidak sedar itu sebenarnya membahayakan alat sulit mereka,” katanya. 

Menurut Zoey, sebagai selebriti sudah menjadi tanggungjawabnya menyebarkan info atau ilmu yang bermanfaat kepada masyarakat. 

“Walaupun saya bukan doktor, tetapi saya sering mengikuti perkongsian ilmu kesihatan daripada para doktor dalam acara kesihatan atau dalam media sosial. 

“Memakai seluar ketat sebenarnya boleh mendatangkan kesan negatif kepada alat sulit lelaki. Misalnya  boleh meningkatkan suhu kawasan testis, merosakkan saraf dan salur darah, serta menyebabkan kerengsaan kulit dan jangkitan,” ujarnya. 

Sementara itu, menurut doktor perubatan dan penceramah kesihatan yang berpengalaman dalam penyakit tuan, Dr. Afif Mohd Ridzwan, pelbagai risiko yang akan berlaku terhadap alat sulit lelaki yang suka memakai seluar ketat. 

“Suhu badan kita adalah 37 darjah celsius. Manakala suhu testis pula memerlukan suhu hanya 35 darjah celsius. 

“Kalau pakai seluar ketat sehingga menyebabkan testis rapat dengan badan,  boleh menyebabkan suhunya sama dengan suhu tubuh. Itu bahaya. 

“Risikonya air mani atau sperma lelaki jadi kurang subur dan boleh menyebabkan kemandulan. Bukan itu sahaja,  pemakaian seluar yang terlalu ketat boleh memberi tekanan pada saraf dan salur darah di zakar, yang boleh menyebabkan kerosakan jangka panjang,” katanya menerusi akaun TikTok. 

Menurut Dr. Afif lagi, mencegah adalah tindakan terbaik sebelum alat sulit bermasalah atau jadi penyakit. 

“Nasihat saya, apabila hendak tidur tu, jangan pakai seluar ketat. Pakai kain sarung lebih bagus,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI