PARIS – Marseille memasang impian besar untuk mengecewakan juara Eropah, Paris Saint-Germain (PSG) menjelang pertembungan getir kedua-dua pasukan dalam saingan Ligue 1 di Stade Velodrom awal pagi esok.
Skuad bimbingan Roberto De Zerbi itu yang masih terluka dengan kekalahan 1-2 kepada Real Madrid pada Rabu lalu, memerlukan tiga mata untuk kembali ke landasan tepat dalam saingan Ligue 1.
Kemenangan bukan sahaja mencerahkan peluang Marseille ke kelompok empat teratas, namun akan menamatkan rekod kekalahan lima perlawanan berturut-turut kepada PSG sejak Februari 2023.
Kali terakhir Marseille berjaya menewaskan PSG menerusi kemenangan 2-1 di pusingan 16 terbaik Piala Perancis pada 2023.
Situasi PSG tanpa kehadiran dua pemain berbahaya, Desire Doue dan Ousmane Dembele kerana kecederaan secara tidak langsung memberikan motivasi tambahan buat Marseille menghadapi perlawanan itu.
Begitupun, pengendali PSG, Luis Enrique enggan panik kerana merasakan anak-anak buahnya kini berada pada tahap terbaik susulan pesta gol 4-0 ke atas Atalanta di pentas UCL pada Khamis lalu.
“Kami tahu kepentingan perlawanan ini buat kelab dan juga para penyokong. Jadi kami akan beri aksi terbaik dan membawa pulang kemenangan ke Paris,” kata Enrique.
Sebagai rekod, PSG masih kekal sebagai satu-satunya pasukan yang berjaya mencatat semua empat kemenangan Ligue 1, manakala Marseille menang dua dan tewas dua kali setakat ini. – AGENSI