BANDAR RAYA MEXICO – Seorang doktor terkejut apabila mengeluarkan anak ketam dari dalam telinga seorang budak lelaki yang mengadu berasa tidak selesa selepas berkunjung ke sebuah pantai di Mexico, lapor portal berita MailOnline.
Kanak-kanak dikenali sebagai Pedro itu berkata, dia berasa ada sesuatu merayap di dalam saluran telinganya.
Ibu Pedro kemudian membawanya ke pusat kesihatan tempatan untuk berjumpa doktor.
“Pemeriksaan perubatan menunjukkan ada seekor anak ketam bersembunyi di dalam telinga anak saya,” kata ibu Pedro, Kitzia Mitre.
Rakaman video kejadian dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @kitziamitre menunjukkan Pedro menangis ketakutan ketika haiwan kecil itu cuba ditarik keluar.
Lebih mengejutkan, anak ketam itu masih hidup selepas berjaya dikeluarkan.
Rakaman itu mencatatkan lebih 22 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi pengguna media sosial.
“Seekor lipas pernah masuk ke dalam telinga saya. Ia sangat mengerikan kerana anda boleh merasa apabila ia bergerak,” kata seorang netizen. – AGENSI