KOTA KINABALU – Ketua warden asrama, Azhari Abd Sagap sebak dan menitiskan air mata ketika memaklumkan Mahkamah Koroner bahawa warga Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar tidak pernah menyembunyikan kebenaran berkaitan kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Saksi kelapan inkues kematian Allahyarham Zara Qairina itu menegaskan, beliau berusaha menyelamatkan pelajar tingkatan satu tersebut pada hari kejadian, 16 Julai lalu.
“Saya menemani Zara Qairina dan ibunya di hospital sedaya mungkin, menghadiri pengebumian arwah di Sipitang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis.
“Namun saya dan pihak sekolah masih berdepan tohmahan. Saya tidak cuba melindungi pembuli atau (sekiranya ada) pembunuh Zara.
“Sekiranya mahu melindungi (pembuli) buat apa beritahu polis apa yang berlaku pada malam 15 hari bulan (15 Julai). Saya adalah orang yang berurusan secara langsung dengan polis.
“Apa sahaja yang polis minta, sesiapa sahaja yang mereka mahu saya bawa ke IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Papar saya kumpulkan (bukti) dan serahkan rakaman audio Kak M. Saya yang kenal pasti dia kepada polis.
“Apabila polis siasat sama ada audio itu tulen, saya yang menerangkan kepada mereka,” katanya ketika menjawab soalan diajukan peguam Abdul Fikry Jaafar Abdullah di hadapan koroner Amir Shah Amiri Hassan.
Fikry mewakili salah seorang tertuduh juvana bagi kes Zara Qairina mengajukan soalan berkaitan tohmahan yang dihadapi saksi dan pihak sekolah selepas remaja tersebut meninggal dunia pada 17 Julai lalu.
Azhari yang juga guru subjek Bahasa Arab menekankan bahawa Kak M adalah pelajar yang baik, bukannya gadis yang wajahnya tular dalam media sosial seperti didakwa.
“Tuduhan terhadap pelajar itu kejam. Hanya kerana dia orang pertama yang jumpa Zara, orang menuduhnya. Kalau bukan kerana dia, Zara mungkin sudah kehilangan nyawanya di sana (lokasi kejadian) jika dia tiada, tetapi ini balasan yang dia terima.
“Sama seperti saya apabila saya cuba selamatkan Zara pagi itu (hari kejadian), saya bawa dia ke hospital, saya hubungi talian 991 untuk (bantuan) ambulans dan saya berada di sana sehingga petang tanpa sempat mandi. Adakah ini yang patut saya dapat? Patutkah sekolah saya menanggung semua ini?” katanya.- KOSMO! ONLINE















