SHAH ALAM – Definisi buli secara spesifik dan jelas antara tumpuan utama dibangkitkan masyarakat dalam usaha membanteras gejala negatif itu di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu disuarakan menerusi perbincangan dalam sesi TownHall AntiBuli anjuran kementeriannya ketika ini dan portal Peta Reformasi Institusi (PetaRI).
Jelas beliau, definisi tindakan itu diminta ditakrifkan secara jelas supaya tindakan susulan lebih tersusun dan berimpak dapat dilaksanakan.
“Kita kena kaji, rata-rata banyak beri komen tentang definisi dan tribunal perlu cepat diselesaikan (prosesnya). Sebagai kerajaan, kita tidak mahu beri definisi buli daripada kajian antarabangsa sebab Malaysia berbilang kaum dan agama. Jadi, bila townhall ini ada pandangan itu.
“Undang-undang kita ada beberapa kategori kesalahan yang boleh dilihat sebagai tindakan buli,” katanya pada sesi Town Hall Antibuli: #GenerasiTanpaBuli Peringkat Selangor di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
Menurut Azalina, pelaksanaan hukuman bersesuaian juga antara perkara perlu diperhalusi sebelum kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) penubuhan Tribunal AntiBuli di Parlimen.
“Sebab itu (gubal) buat undang-undang tidak boleh syok sendiri. Kadang-kadang ahli politik di Parlimen cakap macam-macam tapi yang nak guna, rasai undang-undang adalah rakyat. Sebab itu, kerajaan Madani nak dengar pandangan.
“Sebenarnya dalam Kanun Keseksaan, ada beberapa situasi menggambarkan elemen buli tapi definisi teknikal itu tidak diwujudkan. Ada negara definisikan buli suatu pergerakan berulang, jadi perlukah kita ada definisi buli itu, ia dibincang dalam TownHall ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














