fbpx
Gillian Ooi (tengah) bersama Eldrick Koh pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kepong, Kuala Lumpur. Foto M. FIRDAUS M. JOHARI/KOSMO!

Kami beroperasi secara sah, diiktiraf peringkat serantau – ASEAN Records

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – ASEAN Records Sdn Bhd. (ASEAN Record) menafikan dakwaan bahawa syarikat itu beoperasi tanpa kelulusan dan tidak berdaftar dengan pihak berkuasa adalah tidak benar.

Pengarah Urusannya, Gillian Ooi berkata, ASEAN Records beroperasi sebagai syarikat yang ditubuhkan secara sah di Malaysia dan memegang dua kelulusan bebas bagi penggunaan nama “ASEAN” sebagai platform pensijilan rekod serantau bebas.

Jelasnya, kelulusan pertama adalah daripada Sekretariat ASEAN pada peringkat serantau dan kedua daripada Kerajaan Malaysia pada peringkat kebangsaan.

“Kelulusan ini dikeluarkan di bawah Rujukan CCAD/LSAD/UNA/2023/Vol.1/014 dan bertarikh 1 Disember 2023 yang ditandatangani oleh Tuan Yang Terutama Tran Duc Binh, Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Hal Ehwal Komuniti dan Korporat.

“Kelulusan ini telah ditandatangani bersama dengan rasmi dan masih berkuat kuasa sepenuhnya.

“Syarikat juga memegang Kelulusan Menteri daripada Kerajaan Malaysia di bawah Seksyen 27(3) Akta Syarikat 2016 untuk penggunaan perkataan yang diwartakan “ASEAN” dalam nama syarikat (Rujukan P/S/2023/A/004396, bertarikh 14 November 2023),”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kepong yang turut dihadiri Pengarah Eksekutif ASEAN Records, Eldrick Koh dan Ketua DAPSY Kepong, Jefferson Chia.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kelulusan yang diberikan oleh Sekretariat ASEAN pada Disember 2023 secara khusus membenarkan ASEAN Records menggunakan nama “ASEAN” sebagai identiti korporat dan operasinya sebagai platform pensijilan rekod serantau.

“Kami telah beroperasi secara berterusan dalam skop kelulusan ini sejak pendaftaran, dan tidak menerima sebarang notis pembatalan, penarikan balik, atau pindaan.

“Kami mengiktiraf dan menghormati bahawa Sekretariat ASEAN adalah institusi antara kerajaan serantau. ASEAN Records adalah entiti komersial bebas yang beroperasi di bawah penggunaan rasmi nama ASEAN yang diluluskan. Kami tidak pernah membuat penyataan sebaliknya,”tegasnya.

Sementara itu, Koh berkata, bagi melindungi kepentingan sah syarikat, pemegang rekod kami, dan integriti nama ASEAN diluluskan untuk gunakan, pihaknya akan memulakan tindakan undang-undang yang diperlukan.

Malah kata beliau, dua laporan polis telah dibuat di Kepong dan Cheras pada Ahad lalu berhubung dakwaan tidak berasas sebelum ini.

“Ingin saya tegaskan sekali lagi bahawa syarikat memiliki kelulusan yang diperlukan serta bukti yang menyokong kedudukan undang-undangnya dan operasinya di bawah nama ASEAN.

“Dokumen-dokumen tersebut akan dikemukakan pada masa yang sesuai apabila prosiding undang-undang dimulakan terhadap pihak yang bertanggungjawab,”katanya.

Sebelum ini, media mellaporkan komuniti permiagaan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), berdepan risiko kerugian besar akibat eksploitasi penjualan sijil dan plak yang didakwa menggunakan nama ‘ASEAN Record’ dengan bayaran mencecah puluhan ribu ringgit.

Perkara itu didedahkan Persatuan Pengguna Semenanjung Malaysia (PPSM) yang memaklumkam kegiatan syarikat swasta yang didakwa mendekati dan mengelirukan PKS supaya membeli pengiktirafan yang disyaki tidak sah itu.

Dakwa persatuan itu, pihaknya turut memperoleh surat pengesahan rasmi daripada Sekretariat ASEAN yang mengesahkan badan serantau itu tidak menyokong atau membenarkan kutipan bayaran menerusi pihak ketiga yang tidak diberi kuasa.

Menurutnya, penggunaan nama ASEAN bagi tujuan komersial amat meragukan kerana organisasi itu adalah badan antara kerajaan yang diwakili ketua kerajaan negara anggota termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan bukannya entiti perdagangan.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN