fbpx
MASIH dalam nada variasi rock, MADAM berharap muzik yang dibawakan kali ini akan menepati selera peminat. - FARIZ RUSADIO

‘Tiada kontroversi, biar album bercakap tentang kami’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM rimba industri muzik sarat hiruk-pikuk sensasi dan kontroversi, muncul sekumpulan anak seni memilih jalan sunyi, tidak berteriak apatah lagi mencetus polemik, sebaliknya membiarkan karya menjadi suara mewakilkan kredibiliti mereka.

Itulah prinsip digalas band rock tempatan, MADAM, saat melangkah lebih berani dengan naskhah sulung berjudul MADAM: The Album yang penuh jiwa.

Bukan nama asing dalam kalangan peminat muzik alternatif, kumpulan MADAM (Men of Another Day Another Music) membina tapak sejak 2019 sebelum aktif mencorak perjalanan seni mulai 2020.

Puncaknya, pada 22 April lalu , MADAM melancarkan MADAM: The Album, sebuah karya mengandungi lapan lagu asli hasil tulisan dan penerbitan sepenuhnya mereka sendiri.

Mengambil masa hampir setahun untuk disiapkan, album tersebut menggabungkan elemen moden rock, alternative rock, pop rock dan soft rock, mencipta spektrum emosi luas dalam setiap trek.

Dari kisah cinta hingga konflik dalaman, setiap lagu hadir dengan naratif tersendiri, menjadikan album itu sebuah perjalanan jiwa.

Pemain dram kumpulan terbabit, Herman Kamal mengakui perjalanan seni MADAM tidak seindah disangka, apatah lagi apabila populariti tidak seiring dengan tempoh penglibatan dalam industri.

“Kami sedar perjalanan ini bukan mudah. Pendengar itu ada, tetapi tidak semuanya vokal atau ‘hardcore’. Namun, kami percaya dengan konsistensi, sokongan itu akan terus berkembang.

“Selama ini kami bergerak perlahan, tetapi dengan album ini, kami mahu ubah momentum. Kami mahu orang kenal siapa MADAM dan bagaimana bunyi kami.

Kontroversi

“Mungkin kami tidak kontroversi, tidak sensasi, tetapi kami percaya karya mampu bercakap bagi pihak kami,” katanya kepada HibGlam

Sementara itu, vokalisnya, Putera Muhammad, proses penghasilan album tersebut bukan semata-mata tentang muzik, tetapi pembelajaran menyeluruh sebagai anak seni berdikari.

“Kami mengambil masa hampir setahun bermula daripada proses menulis sehinggalah ke peringkat pelancaran. Lapan lagu dalam album ini merupakan pilihan terbaik daripada puluhan karya yang kami hasilkan.

“Semua lagu ini baharu dan terhasil selepas kami bergerak sendiri tanpa terikat dengan mana-mana label. Kami bersyukur apabila mendapat sokongan dana, selain kerjasama bersama pihak pengedaran, sekali gus memudahkan proses penerbitan.

“Bagi kami, kepuasan sebenar hadir apabila dapat berkarya tanpa terlalu banyak halangan. Segala keputusan dibuat bersama, tanpa birokrasi meleret, menjadikan proses lebih pantas dan jujur,” tuturnya.

Tambahnya lagi, album tersebut menjadi titik penting dalam menentukan hala tuju muzik MADAM, meskipun masih membuka ruang eksplorasi.

“Kalau diibaratkan, muzik kami berteraskan rock sebagai sebuah rumah. Dalam rumah itu, ada pelbagai ruang untuk diteroka. Album ini mungkin hanya satu bilik, tetapi masih banyak ruang lain untuk diterokai pada masa hadapan.

TERUS memperjuangkan muzik atas nama MADAM, kumpulan ini berharap karya mereka kali ini boleh dinikmati peminat seadanya.

“Kami tidak sekadar menghasilkan lagu, tetapi membina identiti. Ada lagu bersifat komersial mengikut selera semasa, ada juga karya tulen yang benar-benar mencerminkan jiwa MADAM.

“Kami tidak mengejar populariti atau ‘viral’. Sebaliknya, kami berkarya untuk peminat muzik sebenar, mereka yang menghargai kejujuran dalam setiap not dan lirik,” ujarnya.

Mengangkat tema hubungan dan konflik dalaman, album tersebut turut mempertaruhkan single berjudul Antara Garisan, sebuah karya tentang kekecewaan dalam hubungan sarat penipuan dan ilusi.

Lagu tersebut menjadi simbol keberanian untuk melihat kebenaran, walaupun pahit untuk ditelan.

Paling penting kata gitaris, Fadhil, keseluruhan album ini dihasilkan secara ‘DIY’ baik daripada penulisan, rakaman mahupun penerbitan.

Langkah berani tersebut membuka ruang kebebasan kreatif, sekali gus menjadi titik perubahan terbesar dalam perjalanan seni mereka.

“Album ini lahir daripada semangat dan kepercayaan semua ahli. Tanpa sokongan semua pihak, mustahil dapat dapat direalisasikan.

“Semoga karya ini mampu mengukuhkan kedudukan MADAM dalam industri, selain membuka lebih banyak ruang berkarya,” tutupnya.

Album tersebut juga turut mendapat sokongan Sony Music Malaysia sebagai pengedar dan bantuan dana MyCreative Ventures.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN