fbpx
Anggota polis membawa Azhar untuk didakwa atas dua pertuduhan memiliki pistol dan peluru di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini. Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN / KOSMO!

Tukang cuci mengaku bersalah miliki pistol, 36 peluru dalam rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Seorang tukang cuci di sebuah pusat peranginan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan memiliki sepucuk pistol dan 36 butir peluru hidup di rumahnya di Kampung Paloh, Pintu Geng dekat sini kira-kira dua minggu lalu.

Tertuduh, Azhar Anual, 50, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki sepucuk pistol jenis Glock 26 Gen4 Austria dan 36 butir peluru hidup tanpa lesen atau permit senjata di sebuah rumah di Kampung Paloh, Pintu Geng dekat sini kira-kira pukul 5 pagi pada 6 September lalu.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua bagi kesalahan memiliki peluru, Azhar dituduh mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 21 Oktober depan untuk fakta kes dan prosiding jatuh hukum. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN