fbpx

Rentas daerah, negeri belum dibenarkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
gambar hiasan

PETALING JAYA – Kerajaan masih belum membenarkan rentas daerah dan negeri di seluruh negara termasuk negeri -negeri yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebarang keputusan baharu mengenai kebenaran merentas daerah atau negeri akan diumumkan dua hari sebelum tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKPB, PKPP tamat pada 4 Mac ini.

“Status ini akan diketahui selepas tamatnya ketiga-ketiga PKP ini pada 4 Mac. Dua hari sebelum tarikh itu, kita akan bincangkan terlebih dahulu.

“Segala keputusan itu akan diumumkan, tetapi seperti saya kata boleh rentas daerah atau negeri dengan kebenaran pihak polis sekiranya ada keperluan mendesak,” katanya ketika sidang khas hari ini.

Mengulas mengenai pembukaan sekolah pada 1 Mac ini, Ismail Sabri berkata pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan pihak polis supaya kelonggaran dapat diberikan kepada ibu bapa yang ingin merentas daerah dan negeri bagi menghantar anak-anak ke sekolah.

“Jika pekerja boleh merentas menggunakan surat kerja daripada majikan, saya akan berbincang dengan KPM dan polis supaya dapat bagi kelonggaran sama kepada ibu bapa,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, larangan rentas daerah dan negeri berjaya mengurangkan kes positif harian Covid-19.

“Walaupun masih mencatat kes empat digit, data daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan salah satu sebab penurunan kes harian ialah langkah yang diambil oleh kerajaan dengan mengawal pergerakan orang ramai merentas daerah atau negeri.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada orang ramai yang sentiasa mematuhi arahan kerajaan,” katanya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI