KLANG – Mayat seorang lelaki disyaki dibunuh dengan beberapa kesan kecederaan ditemukan di Jalan Kempas Kiri, Kampung Perepat, Kapar di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima laporan penemuan mayat dalam keadaan terbaring itu daripada orang awam, kira-kira pukul 3.30 pagi tadi.
Jelasnya, siasatan awal mendapati mangsa merupakan lelaki tempatan berusia 33 tahun dan pemeriksaan lanjut menemukan beberapa kesan kecederaan pada mangsa.
“Mayat berkenaan dihantar ke ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi proses bedah siasat,” katanya kepada pemberita.
Tambah Vijaya, siasatan lanjut sedang dijalankan pihaknya dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.
Terdahulu, penemuan mayat itu tular di media sosial dan penduduk mendakwa sebuah kereta di lokasi berkenaan tersadai sejak petang semalam. – KOSMO! ONLINE














