SETIU – Seramai tujuh pekebun pisang dan kelapa sawit tidak dapat menuai hasil pertanian apabila kebun mereka habis dikerjakan seekor gajah liar di Kampung Langkap di sini sejak dua minggu lalu.
Serangan gajah liar yang disyaki tersesat memasuki perkampungan itu menyebabkan mereka mengalami kerugian puluhan ribu ringgit.
Salah seorang pekebun terjejas, Mohd. Asri Nizam Ahamad, 30, mendakwa, ancaman gajah liar terbabit merupakan pertama kali sejak dia mengusahakan kebun pisang kira-kira lapan tahun lalu.
“Saya ralat kerana pokok pisang yang saya tanam sejak setahun lalu sudah matang dan hanya menunggu mata untuk diambil buahnya.
“Gajah liar ini amat agresif dan mampu merosakkan banyak pokok pisang dan kelapa sawit hanya pada satu malam,” dakwanya ketika ditemui di Kampung Langkap di sini semalam.
Hazwan Shafie, 46, pula mendakwa, setakat ini, sebanyak 70 pokok kelapa sawit di kebunnya sudah dimusnahkan oleh gajah sama.
Katanya, pokok-pokok kelapa sawit di kebunnya dicabut gajah liar terkenaan untuk diambil umbutnya sebagai makanan.
“Saya yakin kemusnahan itu angkara gajah terbabit kerana pernah terserempak dengan haiwan liar berkenaan pada minggu lalu.
“Nasib baik saya sempat lari untuk menyelamatkan diri. Kami kini terpaksa berbelanja lebih mengupah pengawal untuk menjaga kebun pada waktu malam,” katanya.
Katanya, dia telah membuat aduan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan berharap isu pencerobohan gajah liar itu dapat diselesaikan segera.
“Kami bukan sahaja kerugian besar akibat kebun dimusnahkan malah dilanda ketakutan tentang keselamatan diri dan ahli keluarga,” katanya.














