fbpx
Nurshazwani Afni (tengah) didakwa di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini kerana melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Nazrin pada sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak, 31 Ogos lalu. - Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/KOSMO!

Wanita cuba dekati Sultan Nazrin diarah jalani pemeriksaan psikiatri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Seorang wanita yang menghadapi pertuduhan melakukan kekerasan jenayah ke atas Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 31 Ogos lalu, diarahkan untuk menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Tanjung Rambutan.

Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan mengeluarkan arahan tersebut selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani ke atas tertuduh, Nurhaswani Afni Mohamad Zorki, 41.

Nasrul Hadi mengemukakan permohonan tersebut mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah agar tertuduh dihantar untuk menjalani pemeriksaan mental.

“Pada peringkat ini, pihak pendakwaan mohon agar tiada pengakuan diambil kerana berdasarkan pemeriksaan awal, tertuduh didapati mempunyai penyakit skizofrenia.

“Sehubungan itu, satu perintah di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah dipohon bagi mendapatkan laporan perubatan lanjut berkaitan diagnosis penyakit itu selain status kewarasan tertuduh sama ada pengakuan boleh diambil daripada wanita terbabit dan dia boleh dibicarakan,” katanya.

Terdahulu, Nurhaswani Afni yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M. Saravanan didakwa telah melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Nazrin di hadapan bangunan Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di dalam daerah Kinta pada pukul 8.20 pagi, 31 Ogos 2025.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya. Tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan namun tiada pengakuan direkodkan daripada wanita itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN