fbpx
Mohamad (kiri) semasa melawat kandang wagyu selepas Majlis Perasmian Kandang Ternakan Lembu Wagyu Kelfarm Sdn. Bhd. di Seribong, Kota Bharu hari ini. - Foto oleh MUSTAQIM MOHAMED / KOSMO!

Penyeludupan haiwan ternakan ada kaitan seludup dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Penyeludupan haiwan ternakan seperti lembu dan kambing di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan boleh dikaitkan dengan kegiatan sindiket yang menjalankan seludup dadah ke negara ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penyeludupan dadah merupakan salah satu daripada tiga kesan buruk hasil daripada membawa masuk haiwan ternakan secara haram ke negara ini.

Menurutnya, kesan pertama bagi penyeludupan ternakan adalah harga jualan lembu dan kambing yang jauh lebih murah daripada harga yang ditetapkan di pasaran.

“Haiwan-haiwan tersebut juga tidak diperiksa tahap penyakit atau kesihatannya dan semua aspek itu perlu dijaga. Selain itu, penyeludupan haiwan ternakan juga melibatkan kes seludup dadah ke negeri ini.

“Kita boleh lihat kes-kes penyalahgunaan dadah di Kelantan sangat tinggi. Kita tidak tahu apa yang berlaku di kampung-kampung. Semua aspek itu perlu dikawal dan kepentingan rakyat perlu dijaga,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Kandang Ternakan Lembu Wagyu Kelfarm Sdn. Bhd. di Seribong di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad memberitahu, sehubungan itu, terdapat undang-undang di negara ini yang melibatkan kes-kes penyeludupan dianggap sedikit keras, namun sebenarnya ia dilakukan untuk kepentingan rakyat.

Beliau dalam ucapan perasmiannya memaklumkan mengenai sejumlah lebih 70,000 ekor lembu diseludup dengan mudah ke negara ini pada tahun lalu.

Menurutnya, penyeludupan haiwan ternakan itu dilihat akan memberi kesan kepada penternak kepada penternak terutamanya di Kelantan dan Kedah.

“Jika keadaan itu berterusan, penternak di kedua-dua negeri berkenaan akan menghadapi masalah. Mungkin bagi penyeludup, mereka mendapat keuntungan ribuan ringgit, tetapi jangan lupa bahawa mereka menganiaya satu negara ini,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, sindiket pengedaran dadah dikesan menggunakan taktik baharu dengan memasukkan dadah ke dalam buntut lembu atau kambing yang diseludup dari Thailand bagi mengelakkan kegiatan tersebut dikesan pihak polis.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, siasatan mendapati, sindiket terbabit dipercayai menyembunyikan dadah dalam usus atau buntut haiwan ternakan untuk diseludup.

Menurutnya, ternakan itu akan dikuarantin selama dua minggu dan sindiket dipercayai sengaja tidak memberi makanan dan minuman kepada haiwan terbabit sepanjang tempoh tersebut.

“Siasatan lanjut mendapati, kumpulan sindiket itu sengaja tidak memberi lembu makanan dalam tempoh tersebut bagi mengelakkan haiwan berkenaan membuang najis semasa dikuarantin,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN