PETALING JAYA – Seorang guru yang mengajar di tahun satu mendakwa menjadi mangsa manipulasi sehingga menyebabkan murid tersebut dikenakan tindakan disiplin.
Menerusi satu hantaran pengguna dani_syazani di Threads, guru tersebut bertindak demikian kerana murid terbabit sering kali mengganggu rakan-rakannya yang sedang belajar dengan pelbagai cara tidak sepatutnya.
“Ada seorang murid ini yang sangat manipulatif. Apabila ditegur semua kenakalan yang dilakukannya, dia akan menangis dan insaf takkan buat lagi tapi saya keluar saja kelas, terus keluar ‘tanduk’ semula.
“Mula-mula dia menipu dan mencuri duit seringgit rakan sekelasnya. Curi seringgit sampai lima orang, dah jadi RM5. Awalnya, dia minta murid itu, lama kelamaan dia ugut mereka dan beli permainan di koperasi sekolah gunakan duit itu,” ujarnya.
Selepas situasi tersebut semakin tidak terkawal hingga melibatkan murid kelas lain, guru tersebut mengambil inisiatif menghantar pelajar tersebut ke unit disiplin dan kaunselor.
Namun, semakin ditegur dan diingatkan, semakin menjadi-jadi pula sikapnya apabila murid lain turut mengadu dibuli olehnya.
“Setiap hari pelajar yang berbeza mengadu pada saya, ‘cikgu, dia patahkan pembaris saya’, ‘cikgu, dia gunting pemadam saya’, ‘Cikgu, dia baling kotak pensil’,” ujarnya.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang memberi supaya televisyen litar tertutup (CCTV) di dalam kelas tersebut.
“Cikgu kena rakam segala perbuatan murid tersebut sebagai bahan bukti atau letak CCTV dalam kelas. Rakaman ini bukan untuk malukan murid tersebut, tapi beri kesedaran pada keluarganya,” kata pengguna Threads ayumi haney.
“Saya pernah jumpa ibu bapa macam ini, langkah kami senang walaupun agak salah, nasihatkan ibu bapa buat laporan polis, biar polis buat kerja,” komen seorang pengguna.-KOSMO1 ONLINE