BEBERAPA bulan lepas, saya dan rakan berpeluang berehat di air terjun Belukar Bukit, Hulu Terengganu. Pada mulanya, kami hanya ingin berkelah sambil menikmati flora dan fauna yang terdapat di sana. Namun, alang-alang sudah sampai, kami turut mencuba mencari ‘lesen’ ikan sikang atau popular dipanggil Malayan Trout.
Sebenarnya, ikan sikang bukan tergolong di dalam keluarga ikan trout. Namun, bentuk dan rupanya yang seakan ikan trout membuatkan ia dipanggil sebagai Malayan Trout.
Belukar Bukit, Hulu Terengganu atau dikenali sebagai Sungai Betong merupakan salah satu tempat yang ada ikan sikang, sekali gus menjadikan air sungai pergunungan ini sebagai habitatnya.
Sampai sahaja di lokasi, kami mengambil keputusan untuk naik ke hulu bagi mencari ikan tengas di tempat yang kurang pengunjung terlebih dahulu.

Kami trekking ke atas lebih kurang lima minit perjalanan sehingga jumpa satu lubuk yang cantik.
Set pancingan ultralight kami padankan dengan gewang sesudu mikro seberat tiga gram.
Lontaran demi lontaran yang kami lakukan, namun tiada sambutan. Sekali-sekala, kelihatan ikan tengas mengejar, namun seekor pun tidak lekat. Sesi dihentikan untuk makan tengah hari dan bersambung pada petangnya di lokasi ikan sikang pula.
‘Lesen’ sikang
Awal petang itu kami terus pergi ke lubuk sikang yang terletak di hilir dari jambatan utama air terjun Belukar Bukit. Kami berjalan ke hilir sambil melontarkan sesudu mikro di sepanjang sungai.
Setelah hampir setengah jam mencuba, akhirnya sesudu saya disambar seekor ikan sikang.

Saya gembira kerana akhirnya berjaya mendapatkan lesen ikan yang menjadi kegilaan geng-geng pancing layang ini.
Ikan dilepaskan semula ke dalam sungai bagi menjaga kelestarian dan populasinya di sini.
Banyak juga sambaran yang tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya kerana itu merupakan kali pertama saya memburu spesies ini. Banyak lagi perlu saya pelajari supaya percubaan mengilat ikan ini pada masa hadapan lebih berjaya lagi.















