BESUT – Cuaca tidak menentu termasuk laut bergelora yang sedang melanda Pantai Timur termasuk Terengganu pada masa ini dipengaruhi oleh kejadian ribut tropika yang sedang berlaku di Filipina dan utara Laut China Selatan.
Pengarah Meteorologi Terengganu, Rosli Zakaria berkata, Monsun Barat Daya yang meningkatkan kelajuan angin dari arah barat juga meningkatkan fenomena ribut petir dan hujan lebat serta laut bergelora di Pantai Timur terutama pada waktu petang.
“Terengganu secara amnya boleh menerima kesan daripada ribut tropika itu (dari Filipina dan utara Laut China Selatan) kerana kita merupakan negara yang dikelilingi lautan dan cuacanya banyak dipengaruhi dengan tiupan angin.
“Berdasarkan ramalan mingguan semasa, kelajuan angin di perairan Terengganu dijangka sekitar 20 hingga 30 kilometer perjam (km/j) dan akan meningkat pada sebelah petang ekoran ribut petir,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Rosli berkata, ribut petir yang terbentuk di kawasan pedalaman seterusnya bergerak ke arah kawasan perairan akibat pengaruh angin baratan terbabit.
Sehubungan itu, Rosli mengingatkan nelayan agar membuat persiapan awal dan peka dengan keadaan cuaca semasa sebelum melakukan turun ke laut untuk menangkap ikan.
“Sekarang ini, waktu petang dan malam biasanya biasanya akan berlaku hujan atau ribut.
“Jika ada maklumat awal cuaca insya-Allah mereka dapat merancang perjalanan untuk turun ke laut sekali gus mengurangkan risiko kemalangan di laut yang boleh mengancam keselamatan dan nyawa mereka,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan sepasang suami isteri ditemukan lemas selepas bot fiber dinaiki mereka terbalik dipercayai dipukul ombak besar dan angin kencang di perairan Kuala Merchang, Marang pada Ahad lalu.














