SMKA Kedah muncul sebagai satu-satunya sekolah yang berjaya meraih anugerah pada International Innovation and Invention Competition Through Exhibition (iCompEx) 2025.

SMKA Kedah hebat robotik, kalahkan projek universiti dan industri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM kelompok peserta bertaraf universiti dan industri, siapa sangka sekumpulan pelajar sekolah menengah mampu mencuri tumpuan dengan inovasi mereka sendiri.

Itulah yang dibuktikan pasukan inovasi dan robotik Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kedah apabila muncul sebagai satu-satunya sekolah yang berjaya meraih anugerah pada

International Innovation and Invention Competition Through Exhibition (iCompEx) 2025, sekali gus mengharumkan nama negara dan negeri di pentas antarabangsa baru-baru ini.

Bukan calang-calang, kumpulan yang dianggotai pelajar tingkatan 1 itu bukan saja membawa pulang satu pengiktirafan, malah mengungguli pertandingan di Jitra, Kedah itu dengan dua pingat emas, satu pingat perak serta menerima Anugerah Khas (Young Innovator), menewaskan pesaing berpengalaman dari universiti, institusi pengajian tinggi dan juga industri.

iCompEx 2025 merupakan anjuran bersama Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Polimas) dengan Universiti Kebangsaan Malaysia yang melibatkan peserta dari luar negara termasuk

Arab Saudi, China, United Kingdom, Thailand dan Indonesia. Berlangsung di Polimas, Jitra bulan lalu sebanyak 401 projek inovasi dari pelbagai institusi dalam dan luar negara dipertandingkan.

SMKA Kedah, Alor Setar juga sebelum ini pernah mencipta sejarah memenangi satu pingat emas, Anugerah Khas Semi Grand Award dan dua perak di World Invention Creativity Olympic (WICO) 2024 di Seoul National University of Education, Korea Selatan tahun lalu.

Berkongsi dengan K-Remaja, ketua pasukan inovasi dan robotik SMKA Kedah, Umar Alfaruqi Mohd. Fakhrul Anwar, 13, berkata, dia sama sekali tidak menyangka akan menjadi pasukan sekolah menengah yang menang di iCompEx 2025.

“Kami berasa sangat teruja dan bersyukur. Tak sangka sekolah menengah boleh berdiri sama tinggi dengan universiti dan industri.

“Lebih manis lagi, rakan-rakan di sekolah juga kagum dan tumpang bangga, bahkan ada yang tidak percaya pelajar sekolah menengah mampu lawan projek dari universiti luar negara,” katanya.

Projek unggul pasukan itu dikenali sebagai SMART AI FIREBOT: REDQUE-X iaitu robot pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang mampu mengesan kebakaran dan memadam api secara automatik, telah berjaya memikat hati juri sekali gus meraih emas dan Anugerah Khas.

Satu lagi pingat emas diraih pasukan itu menerusi ciptaan berupa losen organik berasaskan herba tempatan yang berfungsi sebagai pelindung kulit dan penghalau serangga dikenali sebagai ASQEN Lotion Spray.

EcoAir Edu Kit: Environment Monitoring System yang mampu memantau kualiti udara secara masa nyata pula membawa pulang pingat perak dan tempat ketiga, Kategori Elektrik, Elektronik & Komunikasi.

Jelas Umar Alfaruqi tentang ciptaan unggul SMART AI FIREBOT: REDQUE-X, dia dan ahli pasukan berhasrat untuk mencipta robot yang mampu mengesan kebakaran.

“Bagi ciptaan ini, kami terfikirkan tentang isu kebakaran yang banyak berlaku melibatkan kawasan rumah dan juga kilang.

Dua orang ahli pasukan robotik SMKA Kedah menunjukkan inovasi robot pintar SMART AI FIREBOT: REDQUE-X di iCompEx 2025, Jitra baru-baru ini.

“Daripada situ, muncul idea untuk mencipta robot yang boleh mengesan asap, api dan juga mampu memadam api secara automatik,” katanya.

Umar Alfaruqi menyifatkan cabaran terbesar yang dihadapi pasukan saat menyiapkan projek adalah melibatkan penghasilan coding AI dan sistem penyembur air.

Selain itu, mereka juga perlu bijak dalam membahagikan masa antara pelajaran dan juga latihan projek.

Biarpun teruja dengan kemenangan pasukan, Umar Alfaruqi memberitahu jika diberi peluang menambah baik ciptaan tersebut, dia dan ahli pasukan sepakat mahu menambah sistem sensor yang lebih baik serta menambah baik Integrasi IoT (Internet of Things) yang merujuk kepada proses menghubungkan peranti fizikal (contohnya sensor, kamera, mesin, kenderaan, perkakas rumah) ke dalam internet supaya boleh berkomunikasi, berkongsi data dan dikawal secara pintar supaya boleh dikawal dari jauh.

“Selain itu, jika projek ini dibangunkan dan mula diguna pakai oleh masyarakat satu hari nanti, sudah tentu kami akan rasa sangat bangga.

“Bayangkan projek kami ini boleh selamatkan nyawa orang ramai, itu semestinya adalah hadiah paling besar buat kami,” katanya.

Berkongsi tentang kejayaan pasukan pimpinannya, guru pembimbing, Dr. Ismail Salleh memberitahu dia banyak menggunakan pendekatan hands-on learning dan design thinking kepada para pelajar.

“Kita bermula dengan masalah sebenar, kemudian saya latih pelajar berfikir kreatif untuk cari solusi.

“Saya juga tekankan disiplin kerja berpasukan, latihan persembahan dan pembacaan kajian antarabangsa supaya mereka bersedia ke peringkat global,” katanya.

SMKA Kedah percaya bahawa agama dan teknologi boleh bergerak seiring.

Justeru, Ismail berkata, dalam menyeimbangkan pengajaran agama dengan kemahiran abad ke-21 seperti AI, pelajarnya yang juga pelajar tahfiz tidak cuma menghafal al-Quran, tetapi juga diasah kemahiran STEM. Ia memberi keseimbangan antara ilmu akhirat dan ilmu dunia.

Kejayaan pasukan tidak datang tanpa cabaran. Kongsi Ismail, cabaran paling besar yang dihadapi adalah kekakangan masa dan sumber.

“Mereka masih bersekolah penuh jadual akademik, jadi kami (guru dan pelajar) perlu pandai susun masa.

“Dari segi teknikal, memang mencabar kerana AI selalunya dikaji di universiti, tetapi dengan bimbingan berterusan, mereka boleh capai kejayaan hebat,” ujarnya yang merupakan anak kelahiran Kuala Nerang.

Berkongsi tentang nilai tambah yang dilihat pada pelajarnya apabila diberi peluang bersaing di peringkat antarabangsa, Ismail berkata, pelajar-pelajar SMKA Kedah itu berpeluang belajar keyakinan diri, skil berkomunikasi yang lebih baik dan cara-cara menghadapi tekanan.

“Paling penting, mereka sedar bahawa usia muda bukan halangan untuk cipta sesuatu yang bermanfaat.

“Untuk langkah susulan selepas pertandingan ini pula, kami merancang untuk komersialkan beberapa produk, terutama ASQEN Lotion Spray dan AI FIREBOT.

“Kami juga mahu teruskan kolaborasi dengan industri dan universiti,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN