fbpx
Dua ekor gajah denak membantu membawa keluar ibu gajah liar bergelar Mek Empang di Kampung Bukit Iboi, Baling kelmarin.

Dua ditangkap, lima masih berkeliaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BALING – Kebimbangan penduduk mengenai kehadiran dua ekor gajah liar di kawasan pe­nempatan mereka di Kampung Bukit Iboi, Kupang di sini, sejak beberapa hari lalu bakal berakhir apabila haiwan liar itu berjaya ditangkap dan dibawa keluar oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kelmarin.

Seorang penduduk, Razak Che Ahmad, 66, berkata, masalah itu mula dikesan sebulan lalu apabila kawanan gajah turun dari arah Lata Chelak dipercayai dari Gunung Inas dan memasui kawasan berdekatan kampung.

Katanya, setakat ini terdapat kira-kira lima lagi gajah liar dari kawanan sama yang dikatakan masih berkeliaran di kampung berhampiran.

“Tujuh ekor gajah ini sering dilihat berkeliaran sekitar pukul 4.30 petang hingga malam di beberapa kampung iaitu Kampung Iboi, Kampung Padang Empang, Kampung Bukit Iboi dan Kampung Iboi Masjid.

“Lebih 10 penduduk turut mendakwa mengalami kerugian apabila hasil tanaman mereka seperti pisang, kelapa dan tebu rosak dimakan gajah. Ramai juga yang tidak berani untuk keluar menoreh,” katanya di sini semalam.

Seorang lagi penduduk Kampung Padang Empang, Siti Zainab Abdul Hamid, 48, berkata, walaupun sudah dua minggu berlalu, dia masih lagi ketakutan dan trauma selepas ternampak belalai gajah masuk melalui tingkap dapurnya.

“Sebelum itu saya terkejut apabila terdengar cermin tingkap dapur pecah sebelum menjenguk dan ternampak belalai gajah.

“Saya terus panggil dan dia cuba sergah tetapi gajah itu tidak berganjak.

“Dia cuba menolak belalai gajah itu keluar walaupun agak sukar. Lebih tiga jam kawanan gajah liar itu berada di belakang rumah sehingga saya hanya mampu menangis kerana terlalu takut,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan negeri, Dr. Abdul Malik Mohd. Yusof berkata, pihaknya menerima laporan awal pada Ogos lalu dan operasi menangkap bermula 13 Ogos lalu.

Katanya, pada 25 Ogos lalu, seekor gajah betina digelar penduduk sebagai Mek Empang berjaya ditangkap pukul 10.20 pagi, manakala anak jantannya Awang Iboi pula pada pukul 3 pagi, 27 Ogos lalu.

“Operasi pemindahan dilakukan pada pukul 9 pagi oleh anggota Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang dan berakhir sekitar pukul 10.30 pagi manakala kedua-dua haiwan itu akan dibawa keluar sekitar pukul 2 petang untuk dihantar ke habitat asalnya 

“Dua ekor gajah denak iaitu Abot dan Sanom digunakan untuk membantu membawa keluar ibu gajah liar itu yang umurnya antara 25 hingga 30 tahun manakala anak kira-kira lima hingga enam bulan dan prosesnya agak mudah kerana disuntik dengan ubat pelali,” katanya.

Tambahnya, gajah-gajah liar itu akan dipindahkan ke tempat yang selamat dan berharap agar penduduk kampung sentiasa berhati-hati dan peka dengan keadaan di sekeliling rumah mereka.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN