SEGAMAT – Beberapa penduduk yang tinggal di Jalan Buloh Kasap, Batu 2 di sini mula rasa bimbang berikutan muncul rekahan tanah di kawasan kebun pada bahagian belakang rumah mereka susulan enam siri kejadian gempa bumi lemah di daerah ini.
Ramlah Ishak, 56, berkata, kejadian itu dilihat semakin membimbangkan memandangkan kawasannya terkesan dengan semua insiden gegaran di daerah itu, termasuk yang terbaharu pada 7.29 pagi semalam.
“Pada dua minggu lepas saya nampak ada garis biasa dan kecil di tanah itu mungkin sebab cuaca panas.
“Tetapi apabila gegaran berlaku dalam seminggu ini saya lihat ada rekahan yang semakin ketara, posisinya pula di tengah-tengah laluan kebun dan ada sedikit di bahagian tepi. Ini yang buat saya rasa tidak sedap hati.
“Jika berlaku lagi dan rekahan semakin besar, saya rasa agensi berkaitan harus mengambil tindakan lanjut untuk membuat penilaian dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Dalam pada itu, Ramlah berkata, meskipun gegaran pagi tadi hanya pada 2.7 magnitud, namun impaknya hampir menyamai gegaran pertama pada 24 Ogos lepas.
“Bumbung rasa bergegar, bunyi gegaran pula seakan guruh,” katanya.
Berdasarkan rekod, setakat ini enam gegaran telah direkodkan di Segamat pada 6.13 pagi, 24 Ogos dengan 4.1 magnitud 8.59 pagi, Rabu (3.2); 7.56 malam, Khamis (2.5); 4.24 pagi semalam (3.4) dan 7.29 pagi semalam (2.7).
Sejak kejadian gempa, penduduk dinasihatkan supaya tidak panik ekoran pihak berkuasa telah menjalankan pemantauan dan membuat hebahan keselamatan dari semasa ke semasa dengan menempatkan anggota di lokasi dikenal pasti.
Ketua-ketua penempatan pula bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mendapatkan maklumat terkini dan memantau pergerakan penduduk terutamanya warga emas.














